PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan mengarahkan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum, dipercepatkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim berkata, prosiding itu tidak sewajarnya dilengah-lengahkan kerana sebarang kelewatan akan menimbulkan ketidakadilan kepada bekas Perdana Menteri dan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menetapkan pengurusan kes pada 18 Ogos ini dan tarikh perbicaraan ditetapkan dalam tempoh sebulan selepas itu.
“Mahkamah menetapkan 18 Ogos ini untuk pengurusan kes dan mengarahkan pihak-pihak memfailkan penghujahan bertulis secara serentak. Tarikh pendengaran ditetapkan dalam tempoh sebulan,” ujarnya.
Hakim Hasnah menyatakan demikian ketika mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan Peguam Negara secara sebulat suara.
Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berpeluang meneruskan permohonan itu di Mahkamah Tinggi dalam usaha mendapatkan perintah mandamus bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.
Pada 9 Julai lalu, panel berkenaan selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Peguam Negara merayu keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang memerintahkan semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan oleh hakim berlainan.
Dalam permohonannya, Najib mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama daripada Seri Paduka ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Jika perintah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – MalaysiaGazette
















