Peguam Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media selepas mendengar keputusan rayuan Peguam Negara terhadap perintah Mahkamah Rayuan berkaitan semakan kehakiman mengenai titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 OGOS 2025.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Nizar Najib untuk mengemukakan bukti tambahan dalam prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keterangan lanjut daripada anak lelaki Datuk Seri Najib Tun Razak akan dimasukkan dalam keterangan baharu dalam prosiding itu di Mahkamah Tinggi akan datang.

“Mahkamah Persekutuan mengatakan bahawa dari segi keterangan lanjut dan yang baharu yang dikemukakan daripada Istana Pahang menerusi anak lelaki Datuk Seri Najib boleh diterima dan akan dimasukkan sebagai keterangan baharu dan lanjut,” katanya pada sidang media, di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Peguam, Shafee Abdullah bercakap pada sidang media selepas mendengar keputusan rayuan Peguam Negara terhadap perintah Mahkamah Rayuan berkaitan semakan kehakiman mengenai titah adendum Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 OGOS 2025.

Shafee berkata, Mahkamah Persekutuan juga memberitahu, kes semakan kehakiman itu akan diremitkan semula ke Mahkamah Tinggi di hadapan hakim baharu.

“Saya difahamkan hakim yang baharu telah pun dilantik di dalam bahagian yang tertentu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Shafee, Mahkamah Persekutuan juga akan membuat keputusan untuk mempercepatkan prosedur yang akan dijalankan di Mahkamah Tinggi kelak.

“Mahkamah Persekutuan telah pun mengutarakan hasrat mereka iaitu kes ini dihabiskan dalam sebulan sekurang-kurangnya dari segi afidavit yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

“Ini bererti dalam dua bulan, kes ini harus diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Saya nak berterima kasih kepada Mahkamah Persekutuan yang telah mendengar dengan tekun hujah-hujah kami dengan begitu lama,” katanya.

Ditanya tentang reaksi balas daripada anak guamnya, Shafee berkata, Datuk Seri Najib Razak berasa gembira dan mengarahkan beliau untuk mempercepatkan prosiding semakan kehakiman itu.

“Saya bagi idea kepada beliau, satu cara ialah untuk meminta Mahkamah Persekutuan terus jalankan kes ini.

“Walau bagaimanapun beliau puas hati dengan hala tuju Mahkamah Persekutuan untuk kes ini dijalankan secepat mungkin di Mahkamah Tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast