KUANTAN – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan mengeluarkan sebanyak 10 notis melibatkan kesalahan pelabelan makanan di sekitar Tanjung Lumpur dan Serambi Teruntum, di sini, hari ini.
Menurutnya, Operasi Penguatkuasaan Pelabelan Makanan itu dijalankan oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan.
“Pengeluaran Notis 32B dan kompaun bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Notis tersebut melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 9 berkaitan Kehendak am mengenai pelabelan makanan seperti nama sebutan produk, ramuan, tarikh luput, berat bersih dan nama serta alamat pengilang atau pengeluar, selain Peraturan 11 yang berkaitan butir-butir dalam pelabelan secara khusus.
“Manakala jumlah produk yang telah disita adalah sebanyak 141 dengan nilai sitaan sebanyak RM1,203.79,” katanya menerusi kenyataan.
Operasi berkenaan melibatkan 13 Pegawai Diberikuasa (PDK) yang menjalankan pemeriksaan ke atas 16 buah premis.
Pemantauan dijalankan bagi memastikan produk makanan di pasaran mematuhi kehendak dan keperluan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983
Selain itu ia bagi memastikan makanan yang dijual kepada pengguna adalah selamat serta tiada penipuan dan makanan di kitar semula bagi produk dijual.
“Penguatkuasaan dilakukan bagi memastikan alamat pengeluar dan pembuat makanan dapat dikenalpasti dan dikesan sekiranya terdapat sebarang kes yang berlaku kepada pengguna.
“Sekiranya mana-mana pengusaha tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985, arahan sitaan produk dan denda akan dikeluarkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















