GEORGE TOWN – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai Himpunan Solidariti Jalur Gemilang yang dijadual diadakan di Bertam, Kepala Batas esok bagi memastikan keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam terpelihara.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai rancangan penganjuran perhimpunan itu dan akan memantau keadaan secara tegas.
“Semua pihak diminta bersabar menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara berhubung kes bendera terbalik itu.
“Jangan ambil sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pihak polis akan mengambil tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau menimbulkan kekacauan, huru-hara atau jenayah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizee berkata, siasatan turut dijalankan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan video pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini sebanyak 38 laporan polis diterima di seluruh negara termasuk 17 di Pulau Pinang manakala 21 di negeri lain.
“Bagi kertas siasatan kes itu pula, ia telah dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada 11 Ogos lalu dan kini dalam kajian pihak berkenaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pemuda UMNO Pulau Pinang akan hadir ke Bertam esok, sebagai maklum balas terhadap kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Ketuanya, Mohd Hilmi Elias berkata, program yang dijadualkan pada jam 5 petang itu akan turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Selain itu, Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk menyertai himpunan tersebut. – MalaysiaGazette















