PUTRAJAYA – Peguam Negara gagal menyekat Datuk Seri Najib Razak daripada meneruskan pendengaran permohonan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum.
Perkara itu ditentukan selepas rayuannya ditolak secara sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Perlu diketahui, Najib, 72, pada asalnya gagal mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Julai tahun lalu.
Dengan keputusan itu, panel berkenaan turut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan awal tahun ini yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Hakim Zabariah ketika membacakan keputusan itu berkata, persoalan sama ada titah adendum itu wujud atau sah hanya boleh ditentukan pada peringkat perbicaaan di Mahkamah Tinggi.
Pada 9 Julai lalu, panel berkenaan selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Peguam Negara merayu keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang memerintahkan semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan oleh hakim berlainan.
Hakim terdahulu, Datuk Amarjeet Singh ketika menolak kebenaran semakan kehakiman berpuas hati, empat afidavit bagi menyokong permohonannya termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Dalam permohonannya, Najib mahukan perintah mandamus bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu supaya kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama daripada Seri Paduka ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Jika perintah itu wujud, kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Rayuan Peguam Negara sekat Najib buktikan titah adendum, diputuskan pagi ini















