Lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Md Mamun Ali, 31, dan Md Refat Bishat, 27, namun kurang faham pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

“Faham sikit-sikit sahaja,” kata mereka yang kedua-duanya bekerja sebagai operator kilang sejurus pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan kemudian memohon kes ditangguhkan ke tarikh lain bagi membolehkan jurubahasa Bangladesh dikemukakan untuk pertuduhan dibacakan semula.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Mamun didakwa dengan pengetahuannya memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS itu melalui aplikasi media sosial, Facebook atas nama Sahifulla Islam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8 Kaunter Terrorism Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur antara 28 Julai 2023 hingga 30 April 2024.

Bagi perbuatan itu, lelaki terbabit didakwa perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan, jika sabit kesalahan.

Md Refat pula didakwa memiliki satu sekeping gambar bendera kumpulan pengganas IS yang juga item berkaitan kumpulan pengganas dalam sebuah telefon di sebuah rumah dekat Jalan Datin Halimah, Larkin Industrial Estate di sini, pukul 4.30 petang, 10 Julai lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff dan Nur Ainaa Ridzwan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula bagi lantikan jurubahasa Bangladesh.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh.

Pada 4 Julai lalu, media melaporkan, pihak berkuasa mengesan kewujudan kumpulan militan asing, Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyebarkan fahaman ekstrem dalam kalangan warga Bangladesh yang memasuki negara ini secara sah untuk bekerja, sebelum merekrut mereka menyertai kegiatan berkaitan keganasan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kumpulan itu didapati mula menyebarkan ideologi kumpulan pengganas IS kepada komuniti migran, terutama warga Bangladesh, melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast