JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar kegiatan warga Singapura membawa masuk penumpang dari republik itu menggunakan kenderaan e-hailing dengan mengenakan caj mahal.
Pembongkaran itu susulan empat pemandu atau pemilik kenderaan Singapura yang disyaki menjalankan perkhidmatan awam sewa-upah berkenaan tanpa lesen yang sah ditahan.
JPJ menangkap dan menyita Toyota Alphard, Toyota Vellfire, van Toyota Hiace dan Honda Spada dalam satu Ops Khas E-hailing Kenderaan Asing yang dilancarkan jabatan tersebut sejak 9 Ogos lalu di sekirar daerah ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ketika operasi dilakukan, empat kenderaan dipandu empat lelaki warga Singapura berusia antara 30-an hingga 40-an itu sedang membawa penumpang republik berkenaan dan juga negara lain melalui laluan Singapura atas tujuan melancong di negara ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tidak mempunyai lesen pengendali yang sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tidak mempunyai cukai jalan Malaysia.
“Mereka ini tiada permit dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan di Malaysia. Bayangkan kos tambang perjalanan dari Singapura ke negara ini dari serendah SGD180 (RM590) hingga ribuan SGD (Singapore Dollar).
“Sebagai contoh, dari republik itu ke JB Sentral dikenakan caj SGD180 (RM590) bagi seorang penumpang untuk perjalanan sehala dan SGD200 (RM655) jika ke Legoland, manakala ada yang ke Ipoh, Perak mereka kenakan caj SGD1,200 (RM3,935) bagi setiap perjalanan.
“Tindakan mereka ini akan menjadi buruk sekiranya berlaku kemalangan dalam Malaysia, ini membabitkan penumpang luar dan kita tidak mahu ada pihak menjalankan perkhidmatan e-hailing tanpa lesen sah kerana mahu memastikan jalan raya kita selamat dengan pemandu, pelancong dan penumpang yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Ops Khas E-hailing Kenderaan Asing di JPJ Negeri Johor di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.
Aedy Fadly berkata, pihaknya akan melaksanakan siasatan terperinci bagi mengenal pasti dan membanteras pihak yang tidak bertanggungjawab itu daripada terus mengambil kesempatan melakukan pelanggaran undang-undang negara.
Jelasnya tindakan penahanan dan penyitaan kenderaan dilakukan mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan disiasat mengikut Seksyen 16(1) akta sama kerana mengadakan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah di negera ini.
Beliau menegaskan, JPJ tidak akan berkomproni dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
Pelaksanaan operasi khas itu juga ujarnya, akan dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin integriti sistem pengangkutan negara demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Kita akan terus memantau kawasan-kawasan tumpuan pelancong ini dan akan melancarkan operasi ke negeri-negeri lain bagi mengesan mereka yang menjalankan perkhidmatan e-hailing kenderaan asing secara haram ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















