KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan beras bernilai kira-kira RM2,000 di pangkalan haram Pok Yah, Kampung Nibong, Tumpat, Kelantan, malam tadi.
Menurut PGA dalam satu kenyataan di Facebook, rampasan dilakukan sekitar jam 10 malam ketika Ops Wawasan, selepas anggota mengesan beberapa lelaki sedang memindahkan guni beras dari sebuah perahu ke tebing sungai.
“Kesemua suspek melarikan diri menaiki perahu ke Thailand setelah menyedari kehadiran pihak polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 500 Kg beras putih dari Thailand disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya.
Jelasnya, barang rampasan diserahkan ke Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat dibawah Seksyen 20 Akta KSPBN 1994.
Sementara itu dalam serbuan berasingan, Batalion 8 PGA menggagalkan cubaan penyeludupan minyak petrol bersubsidi di Pengkalan Haram Pok Ngoh, Kampung Pisau Raut, Tumpat, pada kira-kira jam 7 petang.

Serbuan yang dijalankan ketika rondaan Op Taring Wawasan Kelantan itu membawa kepada penemuan beberapa tong minyak di tebing sungai.
“Pemeriksaan mendapati tong berkenaan mengandungi 120 liter petrol bernilai RM246 yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.
“Hasil rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” – MalaysiaGazette
















