KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung seorang wanita warga asing yang memandu secara berbahaya sebelum menyerang orang awam menggunakan pisau, berhampiran sebuah pusat beli-belah di Kajang pada Rabu lalu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tempoh reman wanita berusia 24 tahun itu adalah sehingga Rabu depan.
“Minggu ini (depan) kita akan rujuk (kertas siasatan kepada pihak Timbalan) Pendakwa Raya. (Tempoh) reman wanita sehingga 20 Ogos ini,” katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, polis menahan wanita warga asing yang disyaki memandu secara berbahaya sehingga melanggar tiga penunggang motosikal sebelum menyerang orang awam dengan pisau.
Dalam kejadian pada pukul 11.58 pagi, enam individu cedera diserang wanita berkenaan secara tiba-tiba.
Siasatan awal polis mendapati, punca kejadian adalah kerana wanita itu dipercayai tertekan dengan layanan diterima semasa belajar. – MalaysiaGazette
















