KUALA LUMPUR – Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah melarang Ahmad Aljafree Mohd Razalli (Aljafree) daripada menerima sebagai pelanggan dan mengaudit mana-mana entiti berkepentingan awam (PIE) atau kumpulan wang jadual untuk tempoh setahun, mulai 30 April 2025.
Selain itu, AOB turut mengenakannya denda sebanyak RM50,000.
Aljafree ialah rakan kongsi Al Jafree Salihin Kuzaimi PLT, sebuah firma audit yang berdaftar dengan AOB.
Beliau yang merupakan rakan kongsi tugasan pelanggan syarikat awam tersenarai (PLC) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 dan 30 Jun 2021 didapati telah gagal mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa (ISA) yang berkaitan dalam bidang pelarasan tahun sebelumnya, hartanah, loji dan peralatan, baki pembukaan dan penyatuan.
Aljafree telah membuat rayuan kepada SC terhadap penalti yang dikenakan AOB namun dia tidak membuat rayuan terhadap larangan yang dikenakan.
Oleh itu, SC menolak rayuan tersebut dan mengesahkan keputusan AOB mengenai penalti monetari. – MalaysiaGazette
















