KUALA LUMPUR – Pengurusan kewangan negara mesti dilaksanakan secara berhemah dan berdisiplin, selaras dengan semangat Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, perkara itu ditekankan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), hari ini.
Jelasnya, FPC adalah sebuah platform penting dalam merangka dasar fiskal yang jelas dan menentukan hala tuju ekonomi negara.
“Kerajaan MADANI perlu terus mencari keseimbangan antara usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan, terutama dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, FPC bersidang membincangkan secara menyeluruh perkembangan ekonomi semasa Malaysia.
Ini terutamanya membincangkan cabaran utama luaran dan dalaman, serta meneliti unjuran fiskal jangka pendek dan sederhana selaras dengan peruntukan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).
Tambahnya, mesyuarat kali ini juga merupakan platform penting dalam menetapkan trajektori fiskal Kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat FPC diadakan mengikut ketetapan FRA. Sejak penubuhannya, FPC telah memainkan peranan penting dalam membentuk strategi fiskal, memperkukuh tadbir urus pengurusan kewangan awam, serta memastikan kedudukan fiskal Kerajaan kekal mampan dalam jangka sederhana dan panjang.
Tambahnya, tahun ini, kerajaan meneruskan langkah konsolidasi melalui peluasan asas hasil serta mengoptimumkan perbelanjaan, antaranya pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api RON95.
Selaras dengan peruntukan FRA, Kerajaan MADANI sedang melaksanakan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi memperluas asas hasil negara dan mewujudkan sistem percukaian yang lebih progresif, di samping memperkukuh pematuhan terhadap amalan terbaik antarabangsa.
Bagi fasa seterusnya, fokus utama Kerajaan adalah memastikan ketirisan dapat ditangani dengan lebih berkesan di samping meningkatkan kecekapan melalui pelaksanaan sistem e-invois secara berperingkat.
Segala usaha tersebut menzahirkan kesungguhan Kerajaan untuk membina rangka kerja fiskal yang lebih adil, berdaya tahan dan mampan, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; Menteri Kewangan II yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi; Ketua Setiausaha Negara; Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; dan Gabenor Bank Negara Malaysia serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan. -MalaysiaGazette
















