SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor mendedahkan lebih 40 majikan di Selangor dikenal pasti terlibat dalam kes melanggar syarat penggajian pekerja asing sepanjang tahun ini.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, kesalahan yang paling banyak dikesan ialah majikan mengambil pekerja asing yang bekerja di bawah syarikat lain, sekali gus melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Biasanya majikan ini ambil pekerja asing yang memang ada pasport dan dokumen, tetapi mereka bekerja bukan di bawah syarikat yang sepatutnya. Itu tetap salah. Salah tetap salah walaupun ada dokumen.

“Kecuali kalau mereka boleh buktikan wujud perjanjian dengan syarikat tertentu, contohnya sebagai rakan kongsi, itu lain. Namun kebanyakan kes yang kita kesan melibatkan majikan yang jelas melanggar syarat penggajian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus JIM bersama media di Shah Alam, hari ini.

Menurut Khairrul Aminus, pihaknya jarang mengesan majikan yang berani mengambil pekerja tanpa dokumen atau pasport langsung, sebaliknya kebanyakan kes tetap melibatkan pekerja asing yang mempunyai dokumen asas.

“Setakat ini, lebih 40 kes majikan sebegini telah direkodkan. Sama ada wujud rangkaian atau ‘supplier’ yang aktif menguruskan pekerja asing di Selangor, kita masih belum ada maklumat.

“Kalau ada, kita akan maklumkan. Buat masa ini, yang kita tahu ia melibatkan majikan itu sendiri secara langsung,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairrul Aminus memaklumkan bahawa warga Myanmar, khususnya etnik Rohingya, mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi di Selangor berbanding warga asing lain.

“Myanmar sebenarnya kalau kita tengok adalah Rohingya. Kita tak labelkan terus ‘Rohingya’, tapi kita kategorikan sebagai Myanmar.

“Dulu jumlah mereka yang ditahan tak sampai ratus pun, tapi kini meningkat kerana faktor dokumentasi dan isu penempatan semula,” katanya.

Jelas beliau, terdapat juga kes tahanan Rohingya yang melibatkan insiden rusuhan di depot tahanan sebelum ini. Ekoran itu, sebahagian tahanan yang dipindahkan ke Selangor masih belum dapat dihantar pulang kerana proses dokumentasi yang lambat.

“Kalau warga Indonesia, biasanya cepat pulang. Tangkap hari ini, minggu depan pun sudah balik. Begitu juga dengan Singapura.

“Tapi untuk Rohingya, bergantung kepada kedutaan dan wakil antarabangsa. Kadang-kadang boleh makan masa beberapa bulan hingga bertahun untuk urusan penghantaran pulang,” katanya lagi.

Berdasarkan statistik JIM, sehingga 31 Julai 2025 Depot Imigresen Semenyih menempatkan 977 tahanan, dengan Myanmar (655 orang) mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti Indonesia (123), Bangladesh (98), India (35) dan Pakistan (20).

Kapasiti maksimum depot adalah 1,250 orang, namun pihak imigresen mengawal jumlah tahanan sekitar 900 hingga 1,000 orang bagi mengelakkan kesesakan.

Daripada jumlah tahanan Julai, seramai 128 orang adalah wanita manakala 109 kanak-kanak direkodkan.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, sebanyak 3,367 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam siri operasi penguatkuasaan JIM Selangor di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, seramai 1,134 individu telah dibebaskan, manakala 315 lagi dikenakan kompaun. Selain itu, 888 orang telah didakwa di mahkamah, sementara 1,030 individu pula diusir pulang ke negara asal masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi membanteras isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

“JIM Selangor komited untuk memastikan isu PATI ditangani dengan lebih tegas.

“Operasi akan terus dipergiat di seluruh negeri dengan fokus bukan sahaja kepada pekerja asing tanpa dokumen, tetapi juga majikan yang bersekongkol menggajikan mereka,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan PATI kepada pihak JIM bagi membantu melaksanakan penguatkuasaan secara berkesan.

Katanya, JIM kini sedang melaksanakan Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM) yang bermula pada 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026.

Program itu memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

“Mereka hanya perlu membayar denda RM500 serta RM20 untuk bayaran pas khas. Pemohon boleh hadir sendiri ke pejabat Imigresen dengan membawa dokumen perjalanan berserta tiket balik sehala.

“Empat pejabat Imigresen Negeri Selangor yang terlibat dalam PRM 2.0 ialah Shah Alam, Kelana Jaya, Pelabuhan Klang dan Kajang. Saya ingin tegaskan bahawa pihak JIM tidak melantik mana-mana pihak ketiga untuk menguruskan proses ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast