Tangkap layar menunjukkan anak panah tersasar sebelum terkena sebuah SUV yang melalui Jalan Macalister di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terkena anak panah dipercayai daripada aktiviti sukan memanah berhampiran Jalan Macalister, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, laporan itu dibuat seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang melalui kawasan berkenaan dari Ayer Itam pada Rabu lalu.

“Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, anak panah tersebut telah mengenai pintu kanan bahagian belakang kereta mangsa.

“Bagaimanapun pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, susulan itu pihaknya telah menjalankan semakan dengan pihak sekolah dan  mendapati terdapat aktiviti latihan memanah yang dianjurkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang di padang sekolah bersebelahan Jalan Macalister.

“Aktiviti itu bagaimanapun sudah dihentikan pada Khamis lalu selepas kejadian ini dilaporkan.

“Pihak sekolah turut melaporkan perkara tersebut kepada MSN Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rozak menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan.

Terdahulu, insiden itu tular di media sosial selepas satu video berdurasi kira-kira 50 saat memaparkan keadaan sebatang anak panah tertusuk pada sebuah SUV dimuat naik pengguna.

Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai apabila rata-rata mempersoalkan faktor keselamatan oleh pihak bertanggungjawab yang boleh membahayakan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast