KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Zara Qairina tidak ada membuat sebarang kutipan derma ketika ini, sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk membayar yuran guaman.
Barisan peguam yang mewakili keluarga pelajar terbabit berkata, nombor-nombor akaun anak guamnya telah tular di platform-platform media massa seolah-olah membayangkan dia sedang mengutip derma bagi dirinya sendiri dan membayar yuran guaman.
“Sedangkan, perkhidmatan guaman kami adalah secara pro bono atau percuma,” kata Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser dalam kenyataan hari ini.
Malah, dakwa mereka, nombor-nombor akaun anak guamnya yang disebarkan itu pernah digunakan untuk menerima sumbangan orang ramai beberapa hari selepas
kematian Zara.
Namun, sumbangan melalui akaun-akaun itu telah dihentikan tidak lama kemudian.
“Sebarang sumbangan wang kepada anak guam kami akan hanya diterima secara fizikal oleh beliau atau wakil NGO yang telah diberi otoriti oleh beliau,” ujar mereka. – MalaysiaGazette
















