Tangkap layar klip video ngeri mangsa terputus kaki akibat digilis lori selepas kemalangan motosikal di Pekan awal pagi tadi

PEKAN – Hasrat seorang pekerja ladang untuk menyertai Himpunan RXZ 7.0 di Terengganu bertukar tragedi setelah mengalami kecelakaan jalan raya di kilometer 21 Jalan Pekan-Nenasi, Rompin, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 26 tahun putus kaki kiri selain mengalami kecederaan pada bahagian perut dan patah ibu jari kaki kanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, mangsa dalam perjalanan ke Terengganu dari arah Kahang Timur, Kluang, Johor.

“Siasatan awal mendapati, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa terbabas dan jatuh di atas jalan raya ketika sampai di lokasi kejadian.

“Mangsa yang jatuh kemudian digilis tayar belakang sebuah lori yang tidak dapat dikenalpasti jenisnya yang ketika itu berada di lorong bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zaidi berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk diberikan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast