Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu berhubung pembekalan 10 kontena minyak masak Palm Olein CP10 bernilai AS$315,675, November tahun lalu.

Nuruliman Haidi Che Mansor, 44, didakwa telah memperdayakan syarikat Global Foods and Confectionaries KFZE (Nigeria) melalui wakilnya iaitu Abdulrahman Muhammad Garba dan Sani Abdullahi Maikano supaya mempercayai bahawa syarikatnya, Tuan Iman Consultancy Sdn Bhd mempunyai keupayaan serta lesen sah untuk membekalkan 10 kontena Palm Olein CP10 bernilai AS$315,675.

Perbuatan itu telah mendorong kedua-dua individu itu menyerahkan AS$94,700 (RM414,810.62) ke dalam syarikat milik tertuduh yang mana mereka tidak akan melakukan perkara tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 November 2024 di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Fozi Addhwa Mohamad Fozi memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Hakim Azrul Darus membenarkan Nuruliman diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai selain menetapkan 29 September ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast