Muhammad Zamir. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR –  Tiga atlet olahraga negara termasuk pasangan kembar melakar sejarah selepas menyapu bersih podium acara 100 meter (m) pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025, di Jakarta, Indonesia hari ini.

Raja pecut baharu, Muhammad Zamir Azman merangkul pingat emas apabila menamatkan larian dengan catatan 11.06 saat meninggalkan rakan senegara, Hazrul Shah Hamri (11.09s) dengan pingat perak.

Kembar Muhammad Zamir iaitu Muhammad Zumar Azman pula meraih pingat gangsa dengan catatan 11.22s.

Lebih membanggakan, Muhammad Zamir turut memperbaharui rekod kejohanan yang sebelum ini dipegang juga oleh atlet negara, Nur Shahdan Muhamad dengan catatan 11.12s pada edisi sulung di Kuala Lumpur 2022.

Atlet berusia 20 tahun itu kini menyasarkan penampilan di Deaflympics Tokyo 2025, pada November ini dalam acara sama.

Sementara itu, dalam acara 100m wanita, Nur Andrina Zainuddin memastikan Malaysia terus gah apabila turut muncul juara dengan catatan 13.06s menewaskan rakan senegara Steffy Stacy Lakim (13.63s) dan atlet tuan rumah Selly Dwi Juniarti (13.88s).

Nur Andrina berkata fokusnya selepas ini untuk memburu emas kedua peribadi pada acara 200m, esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast