Steven Sim Chee Keong bersama Subahan Kamal dan i Dr Mohammed Azman Aziz melakukan gimik perasmian Majlis penjenamaan LINDUNG dan Malam Gala meraikan Majikan Pesona LINDUNG Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjenamakan semula empat skim utamanya di bawah nama ‘LINDUNG’ dalam  usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menampilkan identiti skim itu dengan lebih jelas dan mudah difahami rakyat dalam melindungi kebajikan pekerja.

Melalui penjenamaan ini, nama baharu yang digunakan ialah LINDUNG PEKERJA bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan LINDUNG KERJAYA untuk Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Selain itu, LINDUNG KENDIRI untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan LINDUNG KASIH menggantikan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penjenamaan ini hasil daripada tekad KESUMA untuk mengangkat martabat pekerja dengan menjadikan PERKESO sebagai perisai utama yang melindungi mereka melalui pelbagai skim dan manfaat.

Beliau berharap penjenamaan semula LINDUNG ini akan menjadi langkah proaktif dalam memperkukuh keupayaan PERKESO untuk terus melindungi rakyat Malaysia lebih menyeluruh dan berkesan, selari dengan gagasan Malaysia Madani yang mengangkat nilai kebersamaan dan karamah insaniah.

“Inilah konsep sebuah masyarakat Madani, ‘tiada sesiapa pun yang akan dipinggirkan… Itulah konsep LINDUNG yang diketengahkan oleh PERKESO pada hari ini,” katanya pada Majlis Gala Pelancaran Rasmi Penjenamaan LINDUNG malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis penjenamaan LINDUNG dan Malam Gala meraikan Majikan Pesona LINDUNG Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2025.

Penjenamaan semula LINDUNG PERKESO yang dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos 2025 ini diharap menjadi langkah proaktif dalam memperkukuh keupayaannya untuk terus melindungi rakyat Malaysia dengan lebih menyeluruh dan berkesan, tambah beliau.

Langkah strategik ini merupakan titik tolak kepada pembaharuan struktur yang dijangka dapat memacu kecekapan operasi serta meningkatkan keberkesanan dasar keselamatan sosial di Malaysia.

“Tekad KESUMA, kita berjuang untuk mengangkat martabat pekerja dan tekad kita adalah menjadi perisai yang akan melindungi para pekerja di Malaysia,”  tambah beliau sambil menyifatkan penjenamaan ini akan menjadi pemangkin kepada reformasi struktur PERKESO demi meluaskan liputan perlindungan dan meningkatkan manfaat kepada rakyat.

Antara inisiatif yang bakal dilaksana termasuk memperkukuh fungsi Pusat Rehabilitasi PERKESO, perluasan perlindungan 24 jam kepada pekerja, serta penambahbaikan kadar faedah agar selari dengan keperluan semasa rakyat.

Mengulas lanjut Steven berkata, penjenamaan semula itu akan disokong menerusi Rekayasa KESUMA yang bakal menerapkan penggunaan teknologi dan reformasi birokrasi selaras dengan Pekeliling Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2024.

“Matlamat kita jelas iaitu mewujudkan ekosistem perlindungan sosial yang lebih responsif, efisien dan menyeluruh,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Steven berkata,  setiap tahun, PERKESO mengagihkan kembali kira-kira 45 peratus daripada kutipan tahunan berjumlah RM7.6 bilion kepada pencarum, dengan sejumlah RM3.4 bilion dalam bentuk manfaat seperti pencen, faedah, rawatan, dialisis dan rehabilitasi.

Steven Sim Chee Keong (bertopi merah) bergambar bersama penerima anugerah Apresiasi Majikan Pesona LINDUNG PERKESO pada Majlis penjenamaan LINDUNG dan Malam Gala meraikan Majikan Pesona LINDUNG Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2025.

Pada majlis itu, PERKESO juga meraikan lapan usahawan sebagai Majikan Pesona LINDUNG yang terdiri daripada artis ternama susulan kecaknaan mereka menjaga kebajikan pekerja tanpa culas membayar caruman, selain membina empayar perniagaan masing-masing.

Ikon yang diberikan penghargaan adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin; Noor Neelofa Mohd Noor; Datuk Dr. Mohd Yusof Haslam; Dato’ Sri Aliff Syukri; Christy Ng serta Aeril dan Wawa.

Dalam pada itu Steven turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej perlindungan sosial kepada seluruh rakyat.

“Kita percaya dengan bantuan media, mesej LINDUNG dapat menembusi sempadan sampai ke pedalaman dan luar bandar agar setiap pekerja mengetahui hak dan perlindungan yang tersedia untuk mereka,”ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast