Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mendesak supaya Datuk Lokman Adam dirujuk segera kepada Lembaga Disiplin UMNO serta dilucutkan jawatan sebagai Pengarah Komunikasi UMNO susulan kenyataannya yang didakwa menyerang kepimpinan parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi berkata, kenyataan Lokman dalam satu temu bual baru-baru ini yang melabelkan Datuk Dr Akmal Saleh sebagai ‘Ketua Pemuda H20 (Hishammuddin Hussein)’ adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan imej parti.

“Sebagai Pengarah Komunikasi UMNO, kenyataan beliau boleh disalah tafsir sebagai pendirian rasmi parti dan sekali gus memberi imej buruk kepada UMNO di mata rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aliff Firdaus menegaskan, Lokman seharusnya menunjukkan teladan baik bukannya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap kepimpinan parti.

“Tindakannya menyerang kepimpinan secara terbuka hanya menggambarkan seolah-olah beliau lebih sibuk mencari ruang untuk kekal relevan. UMNO tidak perlukan individu sebegini.

“Parti memerlukan seorang Pengarah Komunikasi yang matang, bijaksana dan mampu membawa naratif positif untuk mengangkat imej UMNO,” tegasnya.

Dalam masa sama, Aliff turut mengulas kenyataan beberapa pimpinan DAPSY yang menggesa agar parti mereka memutuskan hubungan dengan Dr Akmal.

“Pemuda UMNO Wilayah menyambut baik perkara itu kerana kami memang tidak pernah berhasrat untuk bekerjasama dengan DAPSY.

“Mereka saban hari dilihat membela pihak yang melakukan kesalahan sama ada isu bendera terbalik di Pulau Pinang dan Pontian atau mempertahankan peneroka haram Musang King di Pahang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, pendirian kerjasama politik antara Pemuda UMNO dan DAPSY tidak membawa sebarang keuntungan kepada UMNO mahupun Barisan Nasional.

“Sejak dahulu lagi, UMNO dan BN sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat serta membela kebenaran, bukannya menjadi pelindung kepada mereka yang melakukan kesalahan hanya kerana kepentingan politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast