Azizi Abd Karim menunjukkan gambar Chempaka Alara di telefon bimbitnya.

KUANTAN – Bapa kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kemalangan di Rompin semalam, Chempaka Alara Azizi, 3, rebah selepas gagal menahan rasa sedih sejurus jenazah anaknya dimasukkan ke dalam van jenazah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Azizi Abd Karim, 32, sebelum itu dilihat memeluk erat dan mengucup jenazah anak tunggalnya itu selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik HTAA kira-kira jam 1 petang tadi.

Azizi Abd Karim, 32 membawa keluar jenazah anaknya, Chempaka Alara, 3 selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik HTAA Kuantan untuk dimandi, sembahyang dan dikebumikan.

 

Chempaka Alara merupakan antara tiga yang terkorban dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Serok, Muadzam Shah petang semalam.

Kejadian jam 5.30 petang itu, turut menyebabkan ibu mangsa, Amelia Kartika Mappatata, 32, cedera di bahagian kepala dan masih dirawat di HTAA.

Menurut Azizi, kali terakhir dia bercakap dengan isteri dan puteri kesayangan yang dipanggil ‘Bunga’ itu menerusi panggilan video sebelum kemalangan berlaku petang semalam.

“Lima minit sebelum kejadian tu saya ada video call isteri saya. Anak saya cakap rindu sangat dengan saya.

“Dia cakap ‘Bunga nak yayah’. Saya cakap, tunggu nanti yayah ambil bila sampai,” katanya sambil menyeka air mata ketika ditemui di sini hari ini.

Azizi Abd Karim

 

Azizi memberitahu, isteri dan anaknya bertolak ke Melaka bersama rakan-rakan isterinya untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka pada Khamis lepas.

Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang ketika sampai di Kilometer 142, Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Serok, kereta dinaiki mereka  bertembung dengan sebuah pacuan empat roda.

Kemalangan mengakibatkan pemandu kereta iaitu Aida Asmalia Abu Samah, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang, Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18 dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga maut kemalangan pulang dari kenduri kahwin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast