Lokasi kejadian kemalangan meragut tiga nyawa di Kilometer 142, Jalan Kuantan-Seremban petang semalam. foto ihsan IPD Rompin

KUANTAN – Tiga individu termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terkorban dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 142, Jalan Kuantan-Seremban petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, kemalangan berlaku berhampiran Kampung Orang Asli Bukit Serok, Muadzam Shah kira-kira pukul 5.30 petang.

Ketika kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMax dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Tun Razak menghala ke Felda Palong atas urusan kerja.

Manakala sebuah Perodua Myvi dinaiki dua perempuan dewasa, tiga remaja dan seorang kanak-kanak menghala ke Kuantan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri kahwin di Alor Gajah, Melaka.

“Siasatan awal mendapati, ketika sampai di lokasi nahas, Myvi tersebut hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Isuzu Dmax secara berhadapan,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan kemalangan itu, pemandu Myvi, Aida Asmalia Abu Samah, 46 maut di tempat kejadian akibat cedera bahagian kepala, tangan dan kaki.

Dua lagi penumpang kereta itu iaitu Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18 dan Chempaka Alara Azizi, 3 dilaporkan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah.

“Tiga lagi penumpang kereta itu iaitu Adam Wafiy Muqri Jaslihardi, 14; Siti Adawiya Syauqina Sheikh Ali, 13 dan Amelia Kartika Mappatata, 32 pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepal dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya.

Tambah Sharif, pemandu Isuzu Dmax yang merupakan seorang Penyelia Ladang Sawit di Tanjung Gemok mengalami kecederaan patah kaki kanan dan turut dirujuk ke HTAA untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia akan dijalankan di HTAA pada pukul 10 pagi ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mana-mana saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast