PUTRAJAYA – Dewan Pemuda Pas Pusat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, RUU URA didakwa bercanggah dengan nilai Madani dan beliau yakin ia juga tidak dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya yakin ianya sangat menyalahi dan menyanggah nilai-nilai yang dibawa oleh Madani itu sendiri yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri itu sendiri.
“Saya minta Perdana Menteri menyatakan pendirian, adakah beliau akur dengan DAP dan juga menterinya yang kelihatan sekarang ini sangat bulldoz apabila banyak ahli-ahli Parlimen (PKR) mereka sendiri tidak bersetuju.
“Bukan hanya setakat Perikatan Nasional (PN), bahkan parti Perdana Menteri itu sendiri, bukan kecik anak jumlahnya, tujuh orang (Ahli Parlimen PKR),” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan memorandum bantahan URA kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Kemampanan dan Perancangan Strategik) KPKT, Mohd Hazli Ahmad @ Adnan.
Turut hadir, Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa Ummah dan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.
Jumaat lalu, tujuh Ahli Parlimen PKR menyatakan kebimbangan mengenai RUU URA khususnya mengenai ambang persetujuan bagi projek pembaharuan bandar.
Mereka adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Rodziah yang membacakan kenyataan bersama itu berkata, kebimbangan utama mereka khususnya membabitkan Seksyen 19(1)(b),
Di bawah seksyen itu, ia menyebut bahawa jika suatu projek pembaharuan semula bandar dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negara bagi suatu bangunan berusia 30 tahun atau kurang, ambang persetujuan hendaklah 80 peratus.
Khairul Nadzir berkata, Perdana Menteri perlu memandang serius penolakan tujuh ahli Parlimen PKR terhadap RUU URA secara terbuka.
“Dahlah PKR ni parti paling sikit dalam kerajaan. Tujuh orang tak bersetuju dan menyatakan ketidaksetujuan itu secara umum.
“Ini parti Perdana Menteri, saya yakin Perdana Menteri mungkin dia sendiri pun tak bersetuju. Mungkin dia sendiri pun tak bersetuju,” katanya.
Menurut Khairul Nadzir, Perdana Menteri tidak perlu tunduk kepada DAP walaupun mereka mempunyai majoriti ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
“DAP yang memiliki kerusi paling banyak, mungkin ini adalah langkah nak menunjukkan akulah yang paling kau kena dengar cakap,” katanya. – MalaysiaGazette
















