Keadaan bengkel yang hangus dijilat api di Shah Alam awal malam tadi. Foto: Ihsan JBPM.

KUALA LUMPUR – Lebih 40 kenderaan termasuk kereta dan motosikal hangus dalam kebakaran sebuah bengkel tayar di Seksyen 24, dekat Shah Alam, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seorang pekerja lelaki tempatan berusia 30-an mengalami kecederaan ringan dalam insiden itu.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.31 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam serta BBP Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi.

“Premis berkenaan terbakar hampir 90 peratus dengan 37 kereta dan tujuh motosikal musnah.

“Tiada mangsa berada dalam bangunan ketika kejadian kecuali seorang pekerja yang melecur di tangan ketika cuba mengalihkan kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, api berjaya dikawal pada pukul 12.26 tengah malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.31 pagi.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast