Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bagi membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Negara, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap rakyat Malaysia pada tahap ketika ini sepatutnya sudah matang dan mengetahui bagaimana caranya untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang itu dengan betul menjelang sambutan Hari Kemerdekaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

Menurutnya, selain mengelakkan kontroversi yang tidak berkesudahan, mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul itu juga adalah manifestasi rakyat dalam menghormati dan memuliakan bendera negara.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan yang mana Jalur Gemilang bukan bendera biasa sebaliknya merupakan lambang kemuliaan dan kemegahan negara.

“Sepatutnya pada tahap ini, (seluruh rakyat) sudah matang dan patut tahu kedudukan bendera supaya tidak lagi menjadi kontroversi yang tidak berkesudahan.

“Jadi saya menyeru, pertamanya kibarkan Jalur Gemilang dan keduanya pastikan ia dikibarkan dengan cara yang betul, dan tidak salah dari segi kedudukan dan peraturannya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi kelulusan di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu, meluluskan usul RMK13 menerusi undian suara tanpa sebarang pindaan selepas dibentangkan Anwar pada 31 Julai lalu.

Usul RMK13 itu melalui sesi perbahasan selama lapan hari bermula 4 Ogos lalu, melibatkan seramai 153 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Sebelum ini, wujud beberapa kejadian melibatkan pemasangan dan penggunaan Jalur Gemilang yang salah sehingga mencetuskan kontroversi dengan terbaharu berlaku di sebuah premis perniagaan di Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anwar turut melahirkan rasa kesal dengan tohmahan dilemparkan pembangkang kononnya Kerajaan Madani tidak melakukan apa-apa sama ada untuk membantu meringkankan kos sara hidup rakyat atau membangunkan negara.

Lebih mengecewakan, kata beliau, apabila tuduhan dan dakwaan itu dibuat dengan menggunakan alasan-alasan berlandaskan agama Islam.

“Saya faham jika mahu dikatakan kerajaan dalam tiga tahun ini belum cukup atau tidak memadai dalam usaha-usaha kita dan saya faham kalau pembangkang turut memberikan cadangan-cadangan yang boleh kita laksanakan.

“Tetapi untuk menidakkan dan menyatakan kita tidak melakukan apa-apa dan seolah-olah ada penipuan dilakukan, itu adalah satu kepalsuan.

“Untuk menafikan usaha kita hanya kerana pertimbangan politik dan menggunakan ayat-ayat al-Quran, itu saya bantah sekeras-kerasnya,” kata  beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast