Sebuah pasar raya mini yang memasang bendera Johor secara terbalik di Pekan Nanas, Pontian diarahkan tutup selama 30 hari.

PONTIAN – Sebuah pasar raya mini di Pekan Nanas di sini diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan bermula semalam telah diserahkan kepada premis berkenaan.

Menurut beliau, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan (MDP) 2019, iaitu berhubung pengibaran bendera.

“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil.

“Bagaimapun, pemilik premis masih boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan itu, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Azmin menegaskan semua masyarakat termasuk individu dan pemilik perniagaan hendaklah memastikan bendera dipasang dengan betul.

“Jalur Gemilang dan bendera Johor adalah lambang dan tanda penghormatan kepada kedaulatan negara dan negeri.

“Pemilik premis perniagaan khasnya jangan membiarkan pekerja mereka memasang bendera tanpa dipantau dan disemak. Pemilik premis perniagaan perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh pekerja mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nenas, Tan Eng Meng berkata, pasukan pemantau khas telah ditubuhkan bagi memastikan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor di kawasan itu dilakukan dengan betul sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

Jelas beliau, pasukan tersebut melibatkan Ahli Majlis MPPn, ketua kampung serta ketua masyarakat yang akan turun padang memantau premis perniagaan dan rumah kediaman.

“Sekiranya terdapat kesilapan dalam pemasangan bendera, pasukan berkenaan akan terus membantu serta membetulkannya.

“Kita berharap insiden melibatkan pemasangan bendera secara terbalik tidak berulang dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast