Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan pemandu e-hailing dan p-hailing diseru menyertai himpunan aman di Parlimen bermula pukul 11 pagi esok, sebagai tanda solidariti dalam perjuangan membela nasib mereka.

Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), M. Nathan berkata, himpunan yang dirancang selama kira-kira dua jam itu bagi mendesak kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025.

Menurut beliau, RUU itu bukan sekadar undang-undang biasa, sebaliknya perisai melawan eksploitasi moden yang membelenggu lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia.

Apatah lagi, tambahnya, RUU itu juga sudah melalui lebih 40 sesi libat urus serta menerima lebih 500 maklum balas secara atas talian.

Jelasnya, setiap hari pemandu dan `rider’ terus bekerja tanpa perlindungan yang jelas, sedangkan dalam masa sama pihak berkepentingan sentiasa memberi alasan mahu lebih banyak data dan perbincangan dilakukan sebelum langkah perlindungan jelas ke atas kumpulan pekerja berkenaan diambil.

“Bukan setakat perlindungan, namun harga tambang tidak dibayar setimpal dengan kenaikan harga kos operasi yang semakin mencabar kehidupan minimum di bandar.

“Sampai bila lagi kami perlu menunggu segelintir platform dan ahli politik yang mahu segalanya sempurna, tanpa memikirkan risiko dan bahaya kami di jalanan?

“Apa sahaja usaha untuk melengah-lengahkan RUU Pekerja Gig ini adalah pengkhianatan terbesar buat 1.2 juta pekerja gig di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nathan mengulangi perkara yang diperjuangkan kumpulan pemandu e-hailing dan p-hailing antaranya penetapan harga lantai tambang dan perkhidmatan yang adil.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu melaksanakan segera 21 tuntutan TPAD hasil perbincangan rasmi bersama pihak kerajaan sebelum ini.

Turut dituntut, ujar beliau, adalah pelaksanaan `manual accept’ tanpa syarat bagi meringankan beban pemandu serta memberikan hak kepada mereka untuk memilih tugasan yang setimpal tanpa sebarang denda oleh syarikat operator.

RUU Pekerja Gig mula dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam yang antara lain bertujuan membolehkan lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia selepas ini mempunyai hak untuk turut menentukan secara bersama dengan penyedia platform atau majikan kadar upah dan bayaran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast