KUALA LUMPUR – Kes kematian Pegawai Kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menimbulkan persoalan berhubung integriti institusi keselamatan dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata, sebarang perlindungan kepada pihak tertentu tidak boleh diterima sekiranya terbukti wujud salah laku atau kecuaian sehingga membawa kepada tragedi ke atas penuntut berusia 22 tahun itu.
“Kes ini bukan sahaja menyentuh keadilan kepada Allahyarham dan keluarganya, tetapi juga integriti institusi keselamatan serta keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.
“Kami menolak sebarang perlindungan kepada mana-mana pihak jika wujud salah laku,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Menurut wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu, antara tuntutan keluarga termasuk bedah siasat kedua secara bebas dengan penglibatan waris, siasatan menyeluruh merangkumi semua saksi dan rekod latihan, serta pemeliharaan bukti seperti rakaman audio, video dan peralatan yang digunakan.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan keluarga untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi menjalankan bedah siasat kedua oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur selepas afidavit baharu dan bukti tambahan dikemukakan.
Afidavit tersebut turut memuatkan rakaman audio pemberi maklumat berhubung latihan yang dijalankan, selain Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kini mengambil alih siasatan sepenuhnya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pertahanan memaklumkan tiada bukti penderaan, manakala polis Johor sudah merakam keterangan 22 saksi dan masih menunggu laporan penuh perubatan serta kimia.
Sehubungan itu, Ganabatirau mendesak kerajaan menyediakan sokongan guaman, bantuan psikososial dan fasilitasi dokumen rasmi kepada keluarga.
Beliau turut meminta untuk memastikan semakan serta penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan diumumkan secara telus bagi mengelak tragedi berulang. – MalaysiaGazette
















