BANGI – Kerajaan merancang mewujudkan sebuah portal khas untuk aduan serta kesedaran melibatkan kanak-kanak yang dijangka dilaksanakan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, portal berkenaan akan menjadi saluran tambahan selain talian sedia ada seperti Talian Kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita sedang berbincang dengan BHEUU, SUHAKAM serta pejabat perkhidmatan kanak-kanak. Kita mahu mewujudkan sebuah portal khas untuk aduan dan juga kesedaran,” katanya selepas Seminar Literasi Undang-undang Perundangan Negara 2025: Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Menurut Azalina, portal tersebut akan memberi ruang khusus kepada orang ramai membuat laporan berkaitan isu yang menjejaskan kanak-kanak, selain berfungsi sebagai medium kesedaran mengenai hak dan perlindungan golongan itu.
“Ini tidak sama seperti Talian Kasih JKM, itu lain. Portal ini lebih kepada jika ada pihak yang mahu membuat laporan mengenai apa sahaja isu yang menjejaskan kanak-kanak,” jelasnya.
Azalina berkata, langkah itu juga selaras dengan fungsi pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak yang diberi kuasa melalui pindaan akta untuk melaksanakan program promosi, kesedaran dan pendidikan berkaitan hak kanak-kanak.
“Kita merasakan pendekatan ini juga boleh meningkatkan lagi tahap kesedaran. Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak di bawah akta yang telah dipinda memang dibenarkan untuk melaksanakan promosi serta program pendidikan kesedaran. Jadi kita mahu melakukan lebih banyak perkara,” ujarnya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut sedang dalam perancangan dan kerajaan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap kebajikan kanak-kanak di negara ini.
“Itu yang sedang dirancang dan kita harap dapat diselesaikan segera. Sasaran kita adalah untuk melaksanakannya pada tahun ini, insya-Allah,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















