SEMENYIH – Proses bedah siasat ke atas jenazah pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin akan dijalankan di bahagian Forensik, Hospital Kuala Lumpur, jam 9 pagi pada Sabtu.
Peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, bagaimanapun jenazah akan melalui proses pembersihan sebelum bedah siasat, petang ini.
“Petang ini akan dijalankan beberapa prosedur dan bedah siasat ditetapkan esok pukul 9 pagi, sebab mayat kena bawa balik, kena cuci, lepas itu mereka ada beberapa ujian yang akan dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Proses penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris di Tanah Perkuburan Islam Kg Rinching Ulu di sini yang bermula jam 8.45 pagi dan selesai jam 9.22 pagi tadi.
Menurut Naran Singh, keadaan jenazah Allahyarham Syamsul Haris ketika dibawa keluar dari kuburnya dalam keadaan baik.
“Kita nampak mayat itu dalam keadaan okay, baik setakat ini. Mereka bungkus dalam satu bungkusan khas yang disediakan oleh PDRM dan mayat itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bahagian forensik,” katanya.
Naran Singh berkata, beliau dimaklumkan di mana proses bedah siasat akan diketuai pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Bhupinder Singh.
“Saya sendiri bagi pihak keluarga akan berada bersama sepanjang proses bedah siasat dilakukan di bahagian Forensik, Hospital Kuala Lumpur.
“Saya dapat tahu ada tiga pakar forensik yang akan melakukan proses bedah siasat ke atas jenazah Syamsul Haris,” katanya.

Ketika ditanya tentang proses penggalian semula kubur pelatih Palapes itu, ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, dia berpuas hati dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak dalam melancarkan urusan tersebut.
“Saya ucapkan terima kasih kepada sokongan orang ramai yang hadir hadir hari ini, sokongan motivasi, tenaga dan doa.
“Alhamdulillah proses gali semula telah pun selesai dan saya berpuas hati, selepas ini bedah siasat akan dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette
















