Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin bersama Penganalisis Ekonomi daripada Sekolah Perniagaan & Ekonomi UPM, Profesor Dr Rusmawati Said pada Program PODCAST MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 11 OGOS 2025. SARA RM100 Madani Sumbangan Asas Rahmah
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin pada Program PODCAST MG ,SARA RM100 | Penghargaan Buat Rakyat, Lonjak Ekonomi Domestik di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 11 OGOS 2025.

Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 one-off yang bakal dinikmati semua rakyat dewasa berusia 18 tahun dan ke atas mulai  31 Ogos hingga 31 Disember tahun ini menjadi instrumen ekonomi untuk merancakkan perbelanjaan domestik.

Di bawah Belanjawan 2025 kerajaan telah memperuntukkan RM13 bilion bagi program STR dan SARA, meningkat berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya. Sebanyak RM2 bilion pula diperuntukkan untuk SARA RM100 secara one-off.

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad, ketika tinjauan di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OGOS 2025

Inisiatif ini juga  mencerminkan realiti lapangan yang memberi nafas baharu kepada peruncit, mendorong digitalisasi dan membuktikan keperluan sebenar rakyat.

Penasihat Persatuan Peruncitan Bumiputera Malaysia, Datuk Wira Dr Ameer Mydin Ali melihat SARA RM100 dari perspektif yang lebih luas bukan sekadar bantuan secara one-off malah untuk menguji daya tahan sistem ekonomi dan peruncitan negara.

Pembabitan dalam dunia peruncitan sejak berpuluh tahun membolehkan Pengarah Urusan Mydin itu melihat kesan berganda daripada pengumuman kerajaan biar ada yang menyifkatkan RM100 sebagai kecil jumlahnya.

“Ini RM2 bilion bukan RM2 juta. Multiply dari RM2 bilion boleh jadi sehingga RM5 hingga RM6 bilion sebab ia merangkumi banyak aspek seperti logistik keluar barang, lori-lori, pekerja, manufacturing. Itulah hasrat kerajaan dan  itulah makro picture,’’ katanya.

Impak Segera SARA Sejak 2023

Menurut Ameer, sejak STR dan SARA dilaksanakan impak segera terhadap peruncit dapat dilihat di mana lebih 4,000 peruncit menikmati lonjakan jualan antara 15 hingga 20 peratus.

Beliau mengambil contoh jika bantuan SARA diputuskan pada hari Rabu keesokan harinya perniagaan akan meningkat menunjukkan penerima bantuan terutamanya B40 betul-betul memerlukan duit.

Mengenai SARA RM100 one-off kepada semua rakyat berusia 18 tahun dan ke atas, bagi Ameer, isu bukan sekadar siapa layak atau tidak, tetapi bagaimana bantuan itu digunakan.

“Bukan saja T20, M40 pun ada yang tak perlu. Tapi kalau nak guna, gunakanlah untuk sokong industri kecil tempatan. Sebab itu Mydin sediakan Kotak Rahmah berisi produk IKS. Duit yang dibelanjakan membantu ekosistem lebih luas,” jelasnya.

Menurut Ameer, penyediaan kotak SARA Rahmah yang terdiri daripada produk-produk tempatan amat membantu perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.

Katanya, PKS bukan memerlukan bantuan sebaliknya para pengusaha mahu pengguna membeli barangan mereka, oleh itu idea kotak SARA Rahmah memenuhi kehendak mereka sekali gus merancakkan ekosistem perniagaan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin bersama Penganalisis Ekonomi daripada Sekolah Perniagaan & Ekonomi UPM, Profesor Dr Rusmawati Said pada Program PODCAST MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 11 OGOS 2025.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin bersama Penganalisis Ekonomi daripada Sekolah Perniagaan & Ekonomi UPM, Profesor Dr Rusmawati Said pada Program PODCAST MG di Studio MalaysiaGazette, Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 11 OGOS 2025.

“Buat apa kita nak beli barang-barang multinasional sedangkan IKS pun ada produk yang sama, kita boleh tolong IKS. Tidak semua tempat mudah untuk menerima masuk barangan mereka, tetapi di Mydin dengan adanya inisiatif SARA RM100 ini kita masukkan produk IKS dalam Kotak SARA Rahmah,” katanya yang menjadi tetamu program Podcast MG.

Bantuan Cashless Dorong Ekosistem Digital Peruncit

Sebagai peruncit yang mengambil berat tentang ekosistem perniagaan terutamanya tuntutan digitalisasi yang kini menjadi norma dalam masyarakat, Ameer gembira kerana inisiatif kerajaan mendorong golongan peniaga membuka mata dan hati untuk mengubah sistem kewangan mereka daripada tradisional kepada digital.

Kaedah membeli barang-barang keperluan dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad, ketika tinjauan di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OGOS 2025
Kaedah membeli barang-barang keperluan dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad, ketika tinjauan di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OGOS 2025

“Syarikat besar ada sistem seperti Mydin atau lain-lain. Kedai kecil tidak digitalkan perniagaan kerana mungkin malas nak bayar cukai. Kira pun cara lama.  Sekarang, mereka pun terpaksa digitalkan,’” katanya.

Beliau berkata, perkembangan seumpama itu secara tidak langsung merealisasikan hasrat kerajaan mahu semua peruncit kecil bergerak mendigitalkan perniagaan mereka supaya satu sistem yang cekap dan komprehensif dapat dilaksanakan.

Beliau juga melihat peruntukan RM2 bilion sebagai jumlah yang besar dalam pasaran dan pastinya peruncit-peruncit kecil tidak mahu ketinggalan daripada menikmati rantaian penghargaan yang dianugerahkan kerajaan.

MyKad Elak Penyelewengan SARA

Mengenai penggunaan MyKad untuk menebus barangan, Ameer sependapat dengan Dr Ida di mana dompet digital membolehkan dana penghargaan disalurkan secara terus kepada individu yang layak, tanpa perlu melalui banyak birokrasi.

Kaedah membeli barang-barang keperluan dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad, ketika tinjauan di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OGOS 2025
Kaedah membeli barang-barang keperluan dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad, ketika tinjauan di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OGOS 2025

“Dengan data ini akan dapat mengesahkan siapa penerimanya,” katanya.

MyKad juga dilihat sebagai medium terbaik untuk kerajaan mendapatkan data rakyat di negara ini.

“Kita akan tahu siapakah golongan paling banyak menggunakannya dan di situlah kerajaan akan menganalisa setiap data yang diperoleh,” katanya.

Ia mengelakkan penyelewengan dan penipuan yang sering berlaku dalam sistem bantuan tunai tradisional, di mana wang mungkin disalahgunakan oleh pihak ketiga.

Inisiatif ini juga, katanya, memastikan tujuan asal bantuan iaitu untuk membantu rakyat mendapatkan keperluan asas, tercapai sepenuhnya.

Jangan Tertipu Permainan Scammer

Namun dalam kerancakan digitalisasi, ruang untuk penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak boleh dipinggirkan. Mesej-mesej palsu meminta penerima SARA atau STR mendaftar atau mengisi borang juga klik pautan tertentu bertebaran sebagai perangkap yang ada masanya mendatangkan ‘hasil’ untuk mereka.

“Hakikatnya, tiada apa-apa perlu dibuat, tunjuk sahaja MyKad selepas 31 Ogos” kata Ameer.

Mengakhiri bicara, Ameer berkata, ini pertama kali kerajaan melaksanakan SARA RM100 untuk semua rakyat justeru semua pihak harus memberi peluang kepadaan kerajaan untuk melihat sejauh mana keberkesanan inisiatif tersebut.

“Dengan ini, kerajaan akan tahu paling penting apakah mekanisme yang digunakan. Kerana itu pentingnya data. Paling penting kerajaan bantu rakyat sebagaimana negara-negara lain yang juga berbuat demikian,” katanya.

Sebanyak 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia kini boleh menyemak kelayakan penghargaan SARA RM100 di portal rasmi https://sara.gov.my.

Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat kerana kelayakan untuk  SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jangan terpedaya dengan sebarang tipu helah atau ‘scammer’ kerana bantuan penghargaan SARA akan disalurkan secara terus ke dalam MyKad penerima.

Antara barang-barang keperluan yang boleh dibeli dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad, ketika tinjauan di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OGOS 2025
Antara barang-barang keperluan yang boleh dibeli dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad, ketika tinjauan di Mydin Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 08 OGOS 2025

Pilih barang yang dalam senarai, dan tunjukkan MyKad di kaunter bayaran 4,600 peruncit terpilih seluruh negara dari 31 Ogos sehingga 31 Disember 2025.  – MalaysiaGazette

SAKSIKAN PODCAST PENUH:

SARA RM100 | Penghargaan Buat Rakyat, Lonjak Ekonomi Domestik

SARA RM100 | Penghargaan Buat Rakyat, Lonjak Ekonomi Domestik

Program SARA RM100: Ikhtiar segera ringankan beban rakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.