PROGRAM Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diumumkan baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada yang meremehkannya sekadar gula politik namun ada juga yang meraikannya kerana ia bantuan terus daripada kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan peluasan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai langkah proaktif kerajaan untuk menangani kos sara hidup yang semakin mencabar.
Antara inisiatif terbaru di bawah program itu ialah pemberian tunai RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada ikhtiar segera kerajaan dalam menghargai rakyat yang sentiasa menyokong dasar kerajaan.
Seramai 22 juta penduduk Malaysia dijangka mendapat manfaat secara langsung daripada dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.
Kerajaan turut mengumumkan peningkatan besar dalam peruntukan gabungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA iaitu daripada RM13 bilion pada tahun 2024 kepada RM15 bilion bagi tahun 2025.
Peningkatan itu mencatat sejarah sebagai kali pertama bantuan tunai diberikan kepada semua rakyat dewasa tanpa mengira kategori atau latar belakang.
Kesan program SARA bukan sahaja dirasai oleh penerima bantuan tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Dengan adanya lebih banyak pembelian barangan keperluan asas yang disokong melalui program itu – peruncit kecil dan perniagaan tempatan – menikmati peningkatan dalam jualan mereka.
Selain itu, Program SARA juga telah diperluas dalam beberapa aspek penting:
- Kategori barangan yang diluluskan telah ditambah daripada 14 jenis barangan kepada senarai lebih luas. Kini ia merangkumi bukan sahaja makanan asas, produk kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan malah turut meliputi produk kebersihan rumah seperti sabun pencuci pakaian, pinggan mangkuk dan lantai.
- Bermula April 2025, bilangan penerima SARA telah meningkat secara drastik daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang.
- Kedai berdaftar yang menyokong penggunaan SARA melalui MyKad juga bertambah daripada 700 buah (2024) kepada lebih 3,700 buah kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara.
- Mulai 1 Mei 2025, program ditambah baik dengan memperluaskan kategori barangan asas yang dibenarkan menjadikannya lebih relevan dengan keperluan isi rumah.
Sehingga 29 April 2025, pelaksanaan SARA menunjukkan prestasi cemerlang.
Beberapa negeri mencatat kadar penggunaan tertinggi melalui MyKad, dengan Sabah (84%) mendahului, diikuti oleh Perlis (82%), Kedah (80%), Labuan (79%) dan Kelantan (78%).
Kerajaan juga menaikkan kadar maksimum bantuan SARA kepada RM2,100 bagi tahun 2025 berbanding RM1,200 pada tahun sebelumnya (2024).
Ini sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Kesimpulannya, peluasan dan penambahbaikan SARA bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat malah ia adalah satu langkah bijak dan progresif dalam membina negara yang lebih inklusif dan sejahtera.
Dengan pelaksanaan yang cekap serta sokongan rakyat, program berkenaan diyakini akan terus memberi impak positif kepada ekonomi rakyat dan negara secara keseluruhan.
Secara keseluruhan, peluasan Program SARA adalah inisiatif penting untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin mencabar sambil turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Peluasan program SARA kepada penerima STR serta penambahan kategori barangan merupakan langkah yang sangat positif dan proaktif dalam usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.
Dengan jumlah penerima yang meningkat dan lebih banyak kedai runcit yang mengambil bahagian dalam program, manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat Malaysia.
Kerajaan terus komited dalam memastikan program bantuan seperti SARA diperbaiki dari semasa ke semasa supaya ia benar-benar mencapai matlamat dalam membantu rakyat yang memerlukan.
Pendekatan bersasar itu membuktikan inisiatif kerajaan yang berstruktur dan berkesan mampu memberikan impak positif kepada golongan miskin dan miskin tegar di Malaysia, sekaligus membina masa depan yang lebih sejahtera bagi semua.
Mulai 21 ogos 2025, seramai 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 di Portal Rasmi SARA, https://sara.gov.my.
Setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada tahun 2007 dan sebelum akan menerima bantuan termasuk penerima SARA sedia ada.
Menurut Kementerian Kewangan, tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). – MalaysiaGazette
















