BALIK PULAU – Jika orang lain lebih teruja menyambut Syawal, berbeza pula dengan pasangan suami isteri di Kampung Titi Teras di sini, apabila sambutan bulan kemerdekaan diraikan jauh lebih meriah.
Sejak 11 tahun lalu, rumah kampung dua tingkat yang didiami Juriah Semat, 61, dan suaminya, Abd Hamid Hussin, 74, menjadi mercu tanda patriotik apabila dipenuhi kira-kira 1,500 Jalur Gemilang kecil dan besar setiap kali Ogos tiba hingga 16 September.
Juriah berkata, semangat itu timbul kerana mahu menghidupkan kembali roh patriotisme dalam kalangan generasi muda yang disifatkan semakin pudar penghayatannya.
“Kalau orang lalu kawasan Titi Teras, mereka memang kenal rumah ‘Pak Hamid dan Kak Ju’ kerana setiap kali Ogos hingga 16 September suasana di sini meriah dengan hiasan Jalur Gemilang.

“Kami buat hiasan ini untuk tunjuk kepada anak muda, biar jadi contoh supaya mereka terus menghayati semangat patriotik.
“Selain itu, ada juga pelancong dari China dan murid sekolah yang datang bergambar. Kami siap berikan bendera kecil percuma untuk mereka bawa pulang,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah Juriah, sambutan bulan kemerdekaan adalah lambang cinta tanah air yang diraikan lebih meriah daripada Aidilfitri.
“Suami saya pesara tentera dan dia akan memasang bendera di sekeliling rumah manakala kos pembelian lebih RM300 untuk tahun ini ditanggung hasil pendapatan saya sebagai tukang urut.

“Selain itu, saya juga akan mengenakan tudung dan pakaian bertemakan Jalur Gemilang sepanjang Ogos, sekali gus menyerikan lagi suasana di kediaman kami yang setiap tahun menjadi tumpuan orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette
















