KUALA LUMPUR – Memiliki badan yang langsing dan sihat sememangnya menjadi idaman setiap individu namun menurunkan badan bukanlah satu tugas yang mudah.
Justeru, kaedah suntikan kurus kini menjadi antara solusi yang semakin popular terutama buat mereka yang sudah buntu dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
Kaedah itu juga adalah pilihan yang selamat dan digalakkan bagi yang ingin menguruskan badan malah menjadi lebih popular apabila turut menjadi pilihan golongan selebriti dalam dan luar negara.
Doktor perubatan yang berpengalaman dalam rawatan obesiti secara perubatan, Dr Suffian Sani Sayuti berkata, penggunaan ubat suntikan terutama Semaglutide atau nama berjenama Ozempic ketika ini hangat dibincangkan di media sosial biar pun kaedah itu sudah bermula sejak lima tahun lalu.
Beliau yang juga Pengasas dan Pengarah Urusan Eksekutif Megaklinik Dr Suffian memberitahu, ubat itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dengan tujuan untuk menurunkan berat badan.
Namun ia bukan ubat ajaib dan perlu digunakan di bawah pengawasan doktor bertauliah yang berpengalaman untuk mengetahui dos yang sesuai bagi mengelakkan sebarang kesan risiko yang tidak diingini.
“Ozempic mengandungi bahan aktif semaglutide untuk mengstabilkan gula darah pada pesakit diabetes namun kini digunakan secara meluas untuk membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan.
“Ia berfungsi dengan mengawal selera makan dan meningkatkan rasa kenyang yang boleh membantu individu mengurangkan pengambilan makanan dalam rutin harian.
“Ozempic hanya disuntik sekali seminggu namun perlu digunakan di bawah pengawasan doktor untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya selain individu turut digalakkan untuk mengamalkan diet berkhasiat dan senaman,” katanya diketika ditemubual MalaysiaGazette di kliniknya di Shah Alam baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Suffian berkata, menggunakan sebatang pen untuk disuntik di bahagian perut, kaedah itu tidak sakit dan mudah dilakukan berbanding pengambilan produk langsing setiap hari.
Tambah beliau yang baru sahaja pulang daripada Universiti Oxford bagi melanjutkan pengajian itu berkata, kebaikan ubat yang diakui bagus perlu digabungkan dengan panduan daripada doktor yang berpengalaman.
Konsep rawatan seminggu sekali ini akan menyebabkan individu itu dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan rasa bebas sekaligus secara beransur-ansur mengalami perubahan pada berat badan dan fizikal mereka di mana badan menjadi semakin langsing dan sihat.
“Pada masa sama, suntikan itu juga akan mengurangkan kadar inflamasi dalam badan di mana menyebabkan mereka yang menghidap radang kulit dan asma akan menjadi semakin terkawal.
“Selain itu, ia juga dapat mengurangkan risiko serangan jantung dan strok dengan mati mengejut serta mengurangkan beban fizikal di mana sakit belakang, lutut dan tumit akibat berat badan berlebihan akan berkurangan.
“Dari sudut psikologi pula, kita akan rasa lebih gembira dan kurang tertekan sebaliknya rasa selesa dan positif sebagai bonus apabila berjaya menurunkan berat badan dengan dibimbing oleh doktor berpengalaman,” katanya.

Mengulas tentang risiko kepada pengguna, Dr Suffian memberitahu, secara amnya terdapat tiga kesan yang akan dialami sepanjang mengamalkan suntikan untuk tempoh waktu pendek, pertengahan dan panjang.
Katanya, ia bergantung kepada tindak balas di mana selepas dua ke tiga hari disuntik, individu akan mengalami rasa kurang selesa seperti kembung atau sebu, rasa loya dan termuntah serta kadang-kadang ada berdepan masalah cirit-birit.
Namun selepas tempoh sebulan ke enam minggu, kesan kedua akan muncul di mana ada individu akan mengalami pencernaan tidak lawas untuk membuang air besar seperti sembelit disebabkan oleh kurang air secara tidak langsung dan pengurangkan kuantiti makanan seharian.
“Kesan lain selepas disuntik selama tiga bulan ke enam bulan atau setahun, mereka akan mengalami penurunan otot sebanyak 15 hingga 30 peratus yang akan memudaratkan pada jangka masa yang panjang.
“Ia termasuklah jumlah peratusan lemak, kadar lemak tepu, Body Phase Angle bagi menyukat kesihatan sel badan, kekuatan otot dan kadar air berlebihan dalam badan supaya mereka tidak bergantung semata-mata dengan kadar penurunan berat badan sahaja,” katanya yang turut memiliki klinik utama di Wangsa Maju.
Beliau juga menegaskan, tujuan sebenarnya untuk menggunakan ubat suntikan untuk kurus adalah mengubah cara hidup baharu daripada segi mengamalkan pemakanan yang kurang dan lebih berkhasiat serta bersukan secara konsisten.
“Mereka yang memilih kaedah suntikan kurus ini disarankan mengamalkan sekurang-kurang selama tiga hingga enam bulan supaya metabolisme badan serta cara hidup baru berjaya dikekalkan sepanjang pengawasan dengan doktor.
“Akan tetapi, harus kita ingat bahawa rawatan penurunan berat badan lebih daripada sekadar ubat, diet dan bersenam. Kadar tekanan seharian, kualiti tidur serta hormon dan genetik juga memainkan peranan yang besar. – MalaysiaGazette
















