Dr Sam Rasputin

KUALA LUMPUR – Bekas penyanyi raggae, Dr Sam Rasputin tidak pernah menyangka lagu Saya Anak Malaysia masih bertahan sehingga hari ini.

Lagu patriotik nyanyiannya atau nama sebenar Salim Ibrahim, 72, itu terus segar merentasi generasi walaupun sudah hampir 40 tahun usianya.

Rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat masih menghayati lagu itu sebagai lambang kasih dan bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Dulu masa mula-mula nyanyi lagu dalam satu konsert di KL kena buat gimik lempar dua ekor ayam.

“Pengurus masa itu mahu saya sembelih ayam tapi saya tak mahu jadi saya hanya lempar ayam kepada penonton,” katanya.

Kini katanya dia bersyukur lagu Saya Anak Malaysia masih meniti di bibir setiap kali menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Dr Sam berkata demikian Ketika ditemui selepas Program Makan Malam “Saya Anak Malaysia” diadakan sebagai satu inisiatif Presiden Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA) yang juga Presiden Persatuan IRAMA, Ayob Abd Majid di sini malam tadi.

Ayob menyerahkan sumbangan kepada Dr Sam.

Menurut Dr Sam, dia cukup terharu setiap kali melihat rakyat Malaysia bersama-sama mendendangkan lagu itu dengan sepenuh jiwa, apabila mendengar ia dimainkan.

“Syukur pada Allah. Saya terharu melihat bukan orang Melayu sahaja boleh menyanyikan lagu ini, tetapi masyarakat Cina dan India juga boleh menyanyi bersama-sama.”

Dr Sam mengakui tidak pernah terlintas bahawa lagu gubahan komposer tersohor Datuk M. Nasir dengan lirik tulisan S. Amin Shahab pada 1986 itu, akan terus segar sebagai identiti patriotik rakyat Malaysia.

Kenangan paling manis bagi beliau, semasa lagu itu buat pertama kali dipersembahkan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan seluruh dewan bergema dengan nyanyian penuh semangat menjelang Hari Kebangsaan.

“Kekuatan lagu itu terletak pada melodi yang ringkas dan lirik mudah diingati, menjadikan lagu tersebut dekat dengan hati rakyat tanpa mengira usia atau bangsa. Satu dewan bergema masa itu… memang saya tak boleh lupa waktu itu.

“Bila dengar lagu ini, semua orang rasa mereka sebahagian daripada keluarga besar bernama Malaysia. Ini yang membuatkan saya bangga,” katanya sambil tersenyum mengingati detik manis tersebut.

Selain lagu Saya Anak Malaysia, Dr Sam juga popular dengan lagu, Abu Nawas, Sayang Oh Sayang, Semarak Merdeka dan Sinar Harapan.

Kini, Dr Sam yang pernah membintangi filem Mekanik, Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan kini memilih untuk menumpukan masa kepada pengajian agama dan dakwah berharap lagu itu terus menjadi pengikat rasa cinta kepada tanah air dan menjadi jambatan perpaduan antara rakyat.

Sementara itu, Ayob yang juga Presiden IRAMA pernah mencadangkan agar diwujudkan satu program rasmi kerajaan untuk menghargai jasa Dr Sam.

“Bagi saya, penghargaan seharusnya diberikan ketika beliau masih ada, bukan selepas pemergiannya. Beliau sudah terbukti berjasa dan wajar dianugerahkan pengiktirafan tertinggi, termasuk gelaran Datuk,” katanya.

Program makan malam itu bukan sahaja meraikan Dr Sam sebagai Ikon Saya Anak Malaysia malah menjadi wadah untuk mengenang jasa seniman-seniman tanah air yang telah menyumbang kepada negara melalui seni suara, budaya dan perjuangan dakwah.

Selain Dr. Sam, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Mel Ex Wings dan Iwan Syahman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast