Kredit: IPD Port Dickson

PORT DICKSON – Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori tangki di Kilometer 2 Jalan Pantai, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata kemalangan berlaku pada 8.20 pagi itu, menyebabkan mangsa berusia 21 tahun maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati lori tangki jenis Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 60 tahun itu, keluar dari sebuah stesen minyak untuk membelok ke kanan masuk menuju ke jalan utama.

“Pada masa sama, motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori tangki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian air kencing didapati negatif dadah.

Maslan berkata lori dan motosikal tersebut dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut, manakala rakaman kamera litar tertutup berhampiran juga diperoleh bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast