Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk Visit Malaysia 2026 (VM2026) Bil. 1/2025 hari ini. - Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan negara menunjukkan pemulihan luar biasa apabila menerima seramai 38 juta pelawat antarabangsa tahun lalu, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sektor pelancongan domestik tahun lalu pula menerima kehadiran  mencecah 260.1 juta pegunjung.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata, angka itu membuktikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan utama dunia.

“Tahun 2026 bakal menjadi detik besar buat negara apabila Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).

“Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk Visit Malaysia 2026 (VM2026) Bil. 1/2025 bagi menyelaras usaha penting ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, melalui VM2026, negara menyasarkan seramai 47 juta pelawat antarabangsa dengan perbelanjaan lebih tinggi, tempoh tinggal lebih lama serta limpahan ekonomi yang meluas kepada rakyat.

Ujar beliau, fokus utama adalah memperkukuh promosi, menjalin kerjasama erat dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan serta menembusi pasaran baharu dengan tawaran unik termasuk ekopelancongan, beli-belah dan tarikan bermusim.

“Kejayaan ini hanya akan tercapai dengan sokongan dan semangat semua pihak. Insya-Allah, bersama-sama kita akan menjulang nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast