Gelagat antara peserta Tourism Pahang KOM Genting Highlands 2025 hari ini

BENTONG – Komuniti berbasikal menyaksikan sejarah tercipta hari ini apabila seramai 253 pelumba menyahut cabaran dalam perlumbaan berbasikal amatur pertama menawan Genting Highlands, di sini.

Menerusi edisi sulung Tourism Pahang King of the Mountain (KOM) Genting Highlands 2025 hari ini, para peserta menempuh laluan yang dianggap antara pendakian paling mencabar di Asia Tenggara.

Tourism Pahang berkata, pendakian ke Genting Highlands dengan ketinggian pendakian sehingga 2,457 meter dan cerun curam mencecah 18.7 peratus sentiasa menjadi penanda aras legenda ketahanan dan kekuatan, malah pernah menguji kemampuan pelumba profesional antarabangsa.

“Dengan komitmen ini, Tourism Pahang sekali lagi membuktikan usaha membangunkan negeri sebagai destinasi pelancongan sukan utama, menampilkan landskap semula jadi yang unik serta kemudahan bertaraf dunia untuk pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Acara itu dianjurkan oleh MUSE Group Asia, penganjur di sebalik acara gaya hidup dan sukan terkenal seperti L’Etape Malaysia by Tour de France, Marvel Run dan Tokyo Auto Salon Malaysia.

Difahamkan, jalan raya turut ditutup sepenuhnya bagi memberikan pengalaman perlumbaan yang selamat dan eksklusif kepada semua peserta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, Riduwan Matni berkata, acara itu akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Kami yakin acara ini bakal menjadi sorotan baharu dalam kalendar berbasikal serantau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast