KUALA LUMPUR – Bidang kejuruteraan di universiti awam turut menunjukkan fenomena pengambilan yang rendah menyebabkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) cemerlang terus berdepan situasi `cemerlang tetapi gagal ditawarkan tempat’.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, data menunjukkan lima universiti penyelidikan yang menjadi nadi pembangunan negara iaitu Universiti Malaya (UM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak menunjukkan sebarang peningkatan pengambilan pelajar STPM bagi bidang kejuruteraan.
Malah, jelasnya, jumlah keseluruhan kemasukan kejuruteraan di empat universiti penyelidikan utama (UM, UKM, USM, UTM) telah menurun daripada 34 orang pada 2023 kepada hanya 26 orang pada 2024.
“Hal ini sangat membimbangkan kerana universiti penyelidikan inilah yang sepatutnya menjadi tapak utama untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang tenaga, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi masa depan.
“Jika pelajar STPM cemerlang disisihkan daripada peluang di institusi penyelidikan ini, maka ia akan merencatkan keupayaan negara untuk membina bakat kejuruteraan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Madani sering menekankan hasrat untuk membangunkan Industri 4.0, tenaga hijau, AI dan industri semikonduktor menyebabkan permintaan terhadap tenaga pakar kejuruteraan adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini.
Namun, katanya, mekanisme pemilihan UPU yang kaku menyebabkan pelajar cemerlang STPM gagal menempatkan diri di universiti kejuruteraan berdaya saing.
Jelas beliau, situasai itu membawa kepada ketidakpadanan bakat (talent mismatch), membazirkan usaha gigih pelajar sepanjang setahun setengah pengajian dan akhirnya merugikan daya saing negara.
Ujarnya, STPM diiktiraf sebagai sistem penilaian akademik yang paling ketat dan adil, tetapi sering diketepikan dalam proses pengambilan universiti awam.
“Berbanding dengan A Level atau Matrikulasi, pelajar STPM sebaliknya lebih sukar diterima masuk ke kursus arus perdana.
“Keadaan ini bukan sahaja melemahkan semangat pelajar, malah menghakis keyakinan masyarakat terhadap nilai STPM.
“Jika kerajaan tidak memandang serius isu ini, ia bakal menggugat mobiliti sosial serta keadilan pendidikan pada masa depan,” katanya.
Tambahnya, STPM tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan kedua dan pelajar STPM juga tidak boleh dianggap sebagai pelajar kelas kedua, sebaliknya mereka adalah tonggak masa depan negara dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan mesti menjamin sistem yang lebih adil dan telus bagi menghargai usaha pelajar STPM demi membina asas kukuh untuk pembangunan industri dan teknologi Malaysia pada masa depan. – MalaysiaGazette
















