SHAH ALAM – Polis Selangor memaklumkan kertas siasatan berhubung kes pelajar yang jatuh asrama di Sabak Bernam kini sedang dikemas kini untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat lanjut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat walaupun siasatan dijalankan secara aktif melibatkan ramai individu yang telah dipanggil memberi keterangan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian juga sudah selesai dijalankan, manakala keterangan daripada pelbagai pihak telah dirakam bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Menurut Shazeli, mangsa masih menerima rawatan di hospital dan belum sedarkan diri sehingga kini.
Beliau berkata, polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan hasil analisis itu banyak membantu memperkukuh siasatan.
“Dengan jumlah keterangan yang ramai diperoleh, ia membantu polis menetapkan hala tuju siasatan yang lebih positif,” jelasnya. -MalaysiaGazette















