KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera diserang dan digigit anjing ketika bermain di jalan berhampiran kawasan tempat tinggalnya di sebuah taman perumahan di Batu 9 Cheras dekat sini pagi semalam.
Polis Daerah Kajang mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada abang mangsa.
Ketika kejadian yang berlaku pada pukul 6.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang bermain basikal di kawasan berhampiran sebelum diserang seekor anjing yang kebetulan berada di situ.
Tindakan pantas beberapa orang jiran datang membantu berjaya menghalau anjing tersebut.
Dalam kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala telah dikejarkan ke hospital sejurus selepas kejadian dan kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang serta berada dalam keadaan yang stabil.
Berikutan kejadian tersebut, pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah hadir ke lokasi kejadian setelah mendapat aduan daripada penduduk seterusnya berjaya menangkap anjing tersebut bagi tindakan selanjutnya.
Status anjing tersebut masih dalam siasatan sama ada ia haiwan peliharaan berdaftar atau sebaliknya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan, dimana jika disabit kesalahan, mana-mana individu boleh dipenjara sehingga enam bulan atau dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Kes turut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukan kuasa kepada pihak berkuasa untuk memerintahkan kuarantin ke atas haiwan yang menggigit bagi memastikan haiwan tersebut tidak menghidap rabies atau penyakit lain yang berbahaya, terutamanya jika ia adalah anjing peliharaan atau anjing yang tidak diketahui latar belakangnya.
Orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi IPD Kajang ditalian 03-891 14222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nursyaza Farhah Binti Samhairi di talian 017-691 9817. – MalaysiaGazette
Pihak Polis juga menyeru orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian supaya mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan serta memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi supaya kejadian seperti ini dapat dielakkan.
















