KUALA LUMPUR – Seramai 78,883 calon lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia, Diploma/setaraf telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke universiti awam.
Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, pihaknya menerima 109,866 permohonan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi UPUOnline tahun ini.
Secara keseluruhannya, sebanyak 1,132 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.
Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, KPT kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline®️ dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 5 September 2025, jam 12 tengah hari sehingga 14 September 2025, jam 5 petang.
“Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette















