KUALA LUMPUR – Seramai 529 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3 Tahun 2025 telah melaporkan diri di dua kem Askar Wataniah yang terpilih pada siri percubaan terakhir tahun ini.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 279 wira muda lelaki telah melaporkan diri di Kem 505, Pekan Pahang dan 250 wira muda wanita di Kem 515, Kuala Lumpur.
Pelatih yang digelar wira muda berusia 18 tahun ke atas ini merupakan kumpulan ketiga bagi tahun ini selepas dua siri terdahulu dilaksanakan dengan jayanya.
Mereka akan menjalani latihan bersepadu yang menekankan aspek pembinaan jati diri, disiplin, semangat patriotik, kesukarelawanan dan asas ketenteraan ringan.

Ketua Pengarah, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkata, selain pelatih yang dipilih melalui sistem pemilihan rawak (balloting) dalam kalangan
belia yang lahir pada tahun 2007, siri 3/2025 kali ini turut menerima penyertaan peserta
sukarela dengan jumlah yang amat menggalakkan.
Katanya, senario itu membuktikan walaupun program PLKN 3.0 masih berada pada peringkat percubaan setelah diperkenalkan semula pada tahun ini, ia telah diterima secara positif khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Program kali ini memberi penekanan kepada pembentukan generasi muda yang berdaya tahan serta bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kehadiran hampir 529 wira muda ini membuktikan komitmen tinggi belia Malaysia untuk
menyahut cabaran mempertahankan tanah air serta menyemai nilai kepimpinan,
keberanian dan semangat setiakawan.
“Latihan yang bakal mereka lalui adalah satu pengalaman penting untuk membentuk insan yang lebih berdisiplin dan berwawasan,” katanya kepada media selepas meninjau Hari Pendaftaran Lapor Diri Pelatih PLKN 3.0 Siri 3/2025 di Kem 515 di sini hari ini.

PLKN 3.0 merupakan inisiatif kerajaan untuk membentuk generasi muda yang berkualiti seimbang dari segi fizikal, mental, kesepaduan sosial dan semangat patriotisme.
Selain itu, latihan percubaan ini juga menyediakan ruang untuk menguji sejauh mana objektif utama program ini dapat dicapai, iaitu membangunkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara signifikan.
Kejayaan latihan percubaan yang dilaksanakan pada tahun ini akan menjadi asas kukuh bagi pelaksanaan penuh PLKN 3.0 secara berperingkat, yang dijadualkan pada tahun 2026.
Megenai perancangan tahun depan, Yaacob berkata, pihaknya menyasarkan antara 8,000 hingga 9,000 pelatih dengan penambahan kem latihan baharu termasuk di Gemas, selain kem di Sabah dan Sarawak yang kini dalam proses naik taraf.
“Secara keseluruhan, kapasiti kita boleh mencapai sehingga 25,000 pelatih setahun. Tahun depan kita rancang membuka kem di Kuching dan Tawau yang mampu menampung 700 pelatih dalam satu masa.
“Pengasingan jantina masih dikekalkan bagi semua siri PLKN akan datang termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette

















