KUALA LUMPUR – Sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang melakukan aktiviti persundalan di Jalan Ipoh di sini terbongkar apabila tertangkapnya 37 warga asing termasuk 33 wanita dipercayai bekerja sebagai pelacur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, aktiviti tidak bermoral itu yang menggunakan sebuah hotel untuk mengaburi mata pihak berkuasa dipercayai beroperasi sejak September tahun lalu.
“Pelanggan boleh memilih wanita yang ingin dilanggan berdasarkan gambar pada aplikasi ‘whatsapp atau walk in’.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM250 hingga RM400 bagi setiap jam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Khas JIM bermula jam 8.45 malam, pada Jumaat itu hasil maklumat risikan selama dua minggu.
“Operasi Khas JIM melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya,” katanya.
Jelas Zakaria, dalam operasi itu, pihaknya berjaya menahan seramai 37 warga asing dari Myanmar, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos yang berusia di antara 19 hingga 61 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.
“JIM berjaya menahan dua lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki warganegara India dan seorang lelaki warganegara Indonesia.
“Turut ditahan 17 wanita warganegara Indonesia, sembilan wanita warganegara Thailand, enam wanita warganegara Vietnam dan seorang wanita warganegara Laos,” katanya.

Menurut Zakaria, semakan awal mendapati seramai 12 wanita, masing-masing warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia dan Laos telah menyalahgunakan pas masing-masing.
“Manakala seorang lelaki warganegara Indonesia dikesan tinggal lebih masa,” katanya.
Selain itu, katanya, seramai 24 warga asing dari beberapa negara melakukan kesalahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.
“Antaranya dua lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki warganegara India, 15 wanita warganegara Indonesia, tiga wanita warganegara Vietnam dan tiga wanita warganegara Thailand,” katanya.
Dalam operasi sama katanya, JIM turut menyita salinan perjanjian kerja, enam naskhah pasport Thailand dan tujuh pasport dari Vietnam, Indonesia dan Laos.

Dalam pada itu, seramai 12 wanita termasuk warganegara Thailand, Vietnam, Laos dan Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Per.39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Manakala tiga lelaki termasuk warganegara Myanmar dan India serta 21 wanita termasuk warganegara Indonesia, Vietnam Thailand disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Manakala seorang lelaki warganegara Indonesia disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Katanya lagi, kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Seramai tujuh lelaki warganegara tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















