Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 JULAI 2025.

IPOH – Polis menahan enam individu bagi membantu siasatan kes seorang anggota polis cedera ditembak serta penemuan mayat wanita dalam sebuah kereta di Simpang Pulai, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Kesemua mereka ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita.

Noor Hisam berkata, identiti mayat wanita yang ditemukan di bahagian tempat duduk belakang kereta di kawasan kebun kelapa sawit itu juga telah dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 62 tahun.

Kata beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian wanita itu adalah akibat kelemasan.

“Kereta yang digunakan bukan kenderaan curi. Kes ini kini disiasat dengan lebih terperinci termasuk kaitannya dengan suspek utama,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera selepas ditembak dan ditikam oleh seorang suspek ketika cuba memeriksa sebuah kereta mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan.

Suspek bertindak melarikan diri sebelum meninggalkan kereta tersebut.

Siasatan lanjut dilakukan polis ke atas kenderaan itu kemudiannya menemukan mayat seorang wanita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast