KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yakin mampu mendapatkan kawasan baharu penanaman padi seperti di Kubang Pasu dan Pokok Sena bagi menggantikan semula lokasi yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan.
Pengerusi MADA, Datuk Ismail Salleh berkata, lokasi baharu dikenali sebagai MADA PLUS mempunyai 39 blok pengairan seluas lebih 10,000 hektar di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah.
“Ketika ini, lima blok pengairan seluas lebih 1,500 hektar sedang berada di fasa peringkat terakhir untuk kelulusan Exco.
“Kemungkinan kawasan potensi itu agak kecil, tetapi MADA akan meningkatkan hasil daripada pelbagai aspek internet kebendaan (IoT) dan mekanisasi serta hasilnya tetap sama,” katanya.
Beliau ditemui selepas Persidangan Forum Pengairan Dunia Ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 (IEC) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Terdahulu, forum tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Semalam, MADA mengenal pasti hampir 10,000 hektar kawasan tanaman padi dibawah seliaanya yang berpotensi untuk digantikan dengan pembangunan lain termasuk perumahan dan industri.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya status kawasan tanaman padi di bandar utama di Kedah ditukar bagi tujuan pembangunan perumahan dan industri. – MalaysiaGazette
















