INSTITUSI Pendidikan Tinggi (IPT) negara wajar di rasionalisasi bagi memperkasa kualiti pendidikan, meningkatkan prestasi pencapaian serta melonjakkan kedudukan setara dengan IPT terkemuka serantau dan global. Beberapa minggu lepas, laporan QS Best Student Cities Rankings 2026 telah meletakkan Kuala Lumpur sebagai bandar ke-12 terbaik dari 150 bandar di seluruh dunia, melonjak 11 tangga.
Ini merupakan kali pertama Kuala Lumpur berada di kelompok 20 terbaik, sejak ranking tersebut di perkenalkan pada tahun 2014. Ketika kali pertama tersenarai pada tahun 2016, Kuala Lumpur berada di tempat ke-53. Sementara itu, Shah Alam pula berada di tempat ke-144, menurun 21 tangga. Hanya Kuala Lumpur dan Shah Alam sahaja dari Malaysia tersenarai di dalam ranking tersebut.
QS Best Student Cities Rankings di laksanakan menerusi survei dalam kalangan calon dan lepasan pelajar, meliputi 6 kategori: keinginan (desirability), kemampuan (affordability), campuran pelajar (student mix), aktiviti majikan (employer activity), ranking universiti (university ranking), suara pelajar (student voice).
Di rantau Asia, Kuala Lumpur adalah bandar keempat terbaik, selepas Seoul (tempat pertama), Tokyo (tempat ke-2) dan Singapura (tempat ke-11). Antara bandar-bandar Asia lain di dalam ranking tersebut adalah: Beijing (tempat ke-
13), Taipei (tempat ke-14) dan Hong Kong (tempat ke-17).
Kejayaan peningkatan ranking Kuala Lumpur adalah membanggakan dan wajar di raikan. Pencapaian ini memperkukuhkan usaha Kerajaan Malaysia bagi menjenama Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi yang unggul. Ini bukan sahaja dapat menarik pelajar antarabangsa untuk datang ke Malaysia. Menurut laporan Statistik Pendidikan Tinggi 2024 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Awam negara telah meningkat lebih 25%, dari 15,664 (2023) kepada 19,731 (2024).
Bahkan, beberapa IPT antarabangsa telah pun menubuhkan kampus di Malaysia. Antaranya: Heriot-Watt University, University of Nottingham, University of Reading, University of Southampton, Monash University, Swinburne University of Technology dan Xiamen University.
Tatkala meraikan kejayaan Kuala Lumpur, kedudukan Universiti Awam negara masih rendah di dalam laporan QS World University Ranking 2026, yang di terbitkan pada bulan Jun 2025. Antaranya, Universiti Malaya (ke-58), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-126), Universiti Putra Malaysia (ke-134). Sebagai perbandingan, Singapura memiliki dua universiti di kelompok 15 terbaik di dunia: National University of Singapore (ke-8) dan Nanyang Technological University (ke-12).
Ketika ini, Malaysia mempunyai hampir 550 IPT awam dan swasta. Daripada jumlah tersebut, terdapat 20 Universiti Awam, 36 Politeknik dan 105 Kolej Komuniti. Di samping itu , terdapat banyak IPT yang di uruskan oleh lain-lain Kementerian serta Kerajaan-Kerajaan Negeri, antaranya: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia (KKDW) yang menguruskan Universiti
Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Kolej FELCRA, Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH); Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) yang menguruskan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM); Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menguruskan Universiti Islam Selangor (UIS).
Bagi melonjakkan prestasi dan ranking IPT negara, terutamanya milik kerajaan, agenda rasionalisasi mesti disegerakan. Rasionalisasi ini mestilah merangkumi pengukuhan kewangan dan saiz organisasi. Ketika ini, IPT awam dan juga swasta negara bergantung tinggi kepada dana kerajaan. Sebagai contoh, geran kerajaan membiayai sehingga 90% perbelanjaan IPT awam. Sementara itu, IPT swasta turut pula menerima ‘bantuan’ kerajaan, di mana 48% pelajar mendapat pembiayaan pendidikan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Oleh kerana itu, di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menggariskan kemampanan kewangan IPT sebagai salah satu perkara utama. IPT awam dan swasta di gesa menjana sumber pendapatan yang kukuh dan mampan, agar boleh ‘berdikari’ tanpa terlalu bergantung kepada dana kerajaan. Pada bulan November 2015, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia di laporkan berkata sasaran ialah untuk kerajaan menyalurkan dana sehingga 60% sahaja kepada Universiti Awam pada tahun 2025.
Tanpa data terkini, tidak dapat di pastikan samada sasaran berkenaan telah pun tercapai. Sebaliknya, kedudukan kewangan beberapa Universiti Awam di laporkan mengalami kerugian, di mana perbelanjaan telah melebihi pendapatan. Menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2025, tiga universiti awam telah merekodkan ‘kurangan semasa’: Universiti Teknologi MARA
(UiTM) – RM 0.212 bilion; Universiti Malaysia Sabah (UMS) – RM 0.141 bilion; Universiti Putra Malaysia (UPM) – RM 0.128 bilion.
LKAN 1/2025 turut melaporkan bahawa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah merekodkan kerugian tertinggi bagi 3 tahun berturut-turut (2021 – 2023), berjumlah RM 708.45 juta. Situasi kewangan sebegini bukanlah unik kepada IPT negara sahaja.
Malah, ia juga dihadapi oleh IPT di seluruh dunia. Pada bulan Mei 2024, Office for Students (OfS), iaitu sebuah badan yang mengawal selia lebih 400 universiti di England, telah melaporkan bahawa berdasarkan model ramalan, sehingga 72%
universiti di England bakal menghadapi defisit kewangan bagi tahun 2025/2026.
Salah satu cara utama bagi IPT mencapai kemampanan kewangan ialah dengan memiliki skala ekonomi. Dengan saiz organisasi yang lebih besar, IPT dapat meraih pelbagai manfaat, termasuklah: mengoptimumkan kos, mengoptimumkan penggunaan sumber sediada, serta memperluas operasi dan kolaborasi antarabangsa. Ini boleh di capai dengan penggabungan IPT.
Penggabungan IPT sudah berlaku di beberapa buah negara yang terkenal dengan kualiti pendidikan yang tinggi. Sebagai contoh. Pada bulan Januari 2025, dua buah universiti di bandar Adelaide, Australia, iaitu University of South Australia dan University of Adelaide, telah bergabung sebagai Adelaide University, dan menjadi antara universiti terbesar di Australia, dengan jumlah pelajar sekitar 70,000.
Sebelum itu, pada tahun 2004, dua universiti di Manchester, United Kingdom, iaitu Victoria University of Manchester dan Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) telah bergabung menjadi University of Manchester. Dengan penggabungan tersebut, University of Manchester mempunyai 34,000 pelajar dan 9,000 kakitangan, dengan pendapatan melebihi £420 juta.
Kini University of Manchester berada di kedudukan ke-35 di dunia di bawah QS World University Ranking 2026. Di bawah QS World University Ranking 2004, UMIST berada di kedudukan ke-43. Tidak lama dahulu, penggabungan Universiti Awam negara pernah hampir berlaku. Pada bulan September 2019, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengumumkan persetujuan untuk bergabung. UniSZA dan UMT adalah dua universiti berdekatan di
Terengganu, dengan jumlah pelajar sekitar 34,000 orang, UMT (11,000) dan UniSZA (12,262).
Malangnya, pada bulan Mei 2020, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) telah mengumumkan pembatalan cadangan penggabungan tersebut. Pembatalan ini susulan bantahan hebat dari pelbagai pihak, termasuklah: Majlis Profesor UMT, Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM), serta mahasiswa UniSZA dan UMT.
Pembatalan penggabungan tersebut adalah satu kerugian dan missed opportunity bagi memperkasa IPT negara. Sehingga kini, UMT dan UniSZA masih berada di kedudukan ranking yang rendah di dalam QS World University Ranking 2026, dengan UMT di tangga 801 – 850 dan UniSZA di tangga 1400+, iaitu terendah di kalangan 32 IPT awam dan swasta negara yang tersenarai.
Kejayaan konsolidasi sektor perbankan negara pada tahun 1990an dan awal 2000-an adalah contoh terbaik, di mana penggabungan bank-bank tempatan telah meraih manfaat skala ekonomi. Penggabungan bank-bank tersebut telah menghasilkan sekelompok bank yang besar, kukuh dan berdaya-saing di peringkat serantau. Dengan itu, rakyat dapat menikmati kualiti serta skop perkhidmatan yang lebih baik dan luas.
Justeru itu, di bawah RMK-13, Kerajaan Malaysia dan kerajaan-kerajaan Negeri wajar meneliti idea penggabungan IPT secara serius bagi mengukuhkan keupayaan serta kesediaan IPT negara mendepani cabaran semasa. Janganlah tunggu sehingga IPT sudah sampai ke tahap ‘hidup segan mati tak mahu’ baru keputusan di ambil.
Wan Azrain Adnan
Petaling Jaya
















