Ahmad (tengah) meninjau kesan rekahan akibat gempa bumi di Segamat hari ini.

SEGAMAT – Peruntukan RM550,000 diperlukan untuk membaiki kerosakan kecil melibatkan 15 bangunan kerajaan akibat enam gempa bumi yang berlaku di daerah ini sejak 24 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja menaik pulih tersebut perlu dilakukan segera selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.

Beliau memberitahu, antara bangunan yang rosak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah, SJKC HSA Nan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa dan SK Dato’ Wan Idris.

Begitu juga Hospital Segamat, Klinik Kesihatan (KK) Segamat, Bandar Putra Segamat, kuaters kesihatan Batu Anam, Klinik Desa Kampung Jabi, kuaters polis daerah Segamat, Pejabat Kadi Daerah Segamat, kuartes negeri Jabatan Kerja Raya (JKR), Kolej Komuniti Daerah Segamat, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat JKR Daerah Segamat di sini hari ini.

Ahmad berkata, semua bangunan tersebut mengalami kerosakan kecil seperti keretakan permukaan plaster, pepenjuru dinding selain regangan antara panel dinding, regangan antara panel dinding dengan tiang dan rasuk serta regangan antara siling dengan dinding.

Ahmad berkata, kos pembaikan bangunan-bangunan tersebut akan ditanggung kementerian yang terlibat.

Jelasnya, Pasukan Forensik Cawangan Kejuteraan Awam dan Struktur (CKAS) JKR turut melaksanakan pemeriksaan terhadap keselamatan bangunan-bangunan tersebut.

“Bangunan terbabit masih selamat untuk digunakan dan tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.

“Pengguna bangunan telah diingatkan untuk sentiasa memantau keadaan sekeliling dari masa ke semasa dan melaporkan kepada pihak JKR terdapat sebarang penemuan baharu,” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 62 buah rumah penduduk dan dua surau turut mengalami kerosakan namun jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.

Menurutnya, JKR turut melakukan pemeriksaan bangunan dan pemantauan terhadap aset serta jambatan di jalan Persekutuan melibatkan 325 kilometer (KM) dan jalan negeri 242.11 KM.

Ahmad berkata, terdapat 47 jalan negeri, 14 buah jalan Persekutuan dan 10 jalan Persekutuan termasuk dalam radius gempa bumi tetapi tidak terjejas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast