KUALA LUMPUR – Malaysia melakar sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah World Smart City Expo (WSCE) 2025, acara global berprestij yang sebelum ini difahamkan hanya berlangsung di Barcelona.
Bermula 17 hingga 19 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pameran tersebut dijangka menarik lebih 10,000 perwakilan dari 150 negara yang bakal menjadikan Kuala Lumpur tumpuan dunia dalam bidang inovasi bandar pintar.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming begitu teruja berkata, penganjuran ini merupakan satu penghormatan besar buat Malaysia, apatah lagi ia berlangsung hanya seminggu selepas negara mempengerusikan Mesyuarat Tahunan ke-8 Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN8).
“Biasanya World Smart City Expo diadakan di Barcelona. Buat pertama kali, ia dianjurkan di luar Eropah dan Malaysia diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah.
“Bayangkan Kuala Lumpur akan menjadi pentas dunia dan ini peluang emas untuk kita mempromosikan Malaysia sebagai peneraju pembangunan bandar pintar dan lestari,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan ASEAN Smart City Network Annual Meeting 8 (ASCN8) di sini hari ini.

Menurut Kor Ming, WSCE 2025 akan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, datuk bandar, pembuat dasar, pakar teknologi, pelabur, pemain industri serta masyarakat sivil bagi membincangkan solusi bandar masa depan.
Malaysia akan memanfaatkan platform ini untuk mengetengahkan inisiatif tempatan seperti Putrajaya Command Centre, sistem lampu isyarat pintar berasaskan AI, serta model pemuliharaan Putrajaya Wetlands yang menjadi rujukan antarabangsa.
Selain pameran teknologi, WSCE turut menampilkan sesi plenari, forum kepimpinan bandar, padanan perniagaan dan bengkel inovasi selain menjadi medan penting untuk mempromosikan strategi serantau seperti ASEAN Smart City Action Plan (ASCAP) 2026–2035, yang baru sahaja dimuktamadkan di Kuala Lumpur minggu ini.
Kata Kor Ming, penganjuran WSCE selari dengan misi Malaysia untuk memperkukuh imej negara di pentas dunia, khususnya dalam menjayakan aspirasi Komuniti ASEAN 2045.
“ASEAN ditubuhkan berteraskan dua prinsip iaitu keamanan dan kemakmuran. Tanpa keamanan, tiada pembangunan. Dengan WSCE, kita mahu dunia melihat bagaimana Malaysia dan ASEAN mampu bergerak daripada keamanan kepada kemakmuran, serta menjadi rantau paling aman dan maju di dunia,” ujarnya.
Tambahnya, WSCE juga memberi peluang Malaysia mengetengahkan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), termasuk usaha memastikan bandar yang dibangunkan bukan sahaja canggih dari segi teknologi tetapi turut mesra rakyat, inklusif dan lestari.
“Kita mahu memastikan tidak ada bandar dan tidak ada rakyat yang tertinggal. Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching atau bahkan bandar-bandar kecil sekalipun mesti bergerak seiring dalam transformasi pintar. Malaysia kuat kerana kita bergerak bersama,” ujarnya.
Dengan status Kuala Lumpur sebagai tuan rumah WSCE 2025, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat inovasi bandar pintar rantau Asia dan seterusnya pemain penting di pentas global. -MalaysiaGazette
















