Sebuah kedai karpet dijilat api mengakibatkan kemusnahan 90 peratus terbakar dalam insiden kebakaran di Jalan Mahkota, di Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Tiga buah kedai di bangunan berusia lebih seabad yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuantan di Jalan Mahkota di sini terbakar dalam kejadian malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, dalam kejadian itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.46 malam tadi dan tiba di lokasi nahas kira-kira 9 minit kemudian.

”Jentera tiba ketika api sedang marak 80 peratus di premis kedai karpet dan merebak ke tingkat satu bangunan sebelah iaitu bangunan persatuan.

”Maklumat awal kami dapat kebakaran berpunca dari kedai nombor 6 di belakang melibatkan kemusnahan 90 peratus, kedai di sebelah atas 50 peratus dan kedai hujung sarang burung pula terbakar sebanyak 30 peratus.

”Lantai premis memang dari kayu dan jumlah kerugian serta siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika ditemui media di Jalan Mahkota malam tadi.

Kebakaran di bangunan setiap kedai berkeluasan 20x 120 kaki itu dapat dikawal setengah jam kemudian dan tiada kecederaan dilaporkan.

Seramai 34 anggota bomba terlibat membabitkan empat bali bomba iaitu balai bomba Kuantan, Taman Tas, Indera Mahkota dan Gebeng di sini membabitkan empat jentera bomba. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast