JOHOR BAHRU – Satu longkang kecil di bahu jalan sekitar kawasan Bangunan Lily, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini perlu dibina susulan banjir kilat petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, syor itu dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Bahru.
“Ini sebagai langkah mengalirkan air terus ke sistem perparitan berikutan kawasan itu terletak di kawasan yang paling rendah.
“Berdasarkan data daripada JPS Johor Bahru, jumlah hujan yang direkodkan pada hari ini melebihi 70 mm.
“Keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat di bangunan berkenaan.
“Pihak JPS akan berhubung dengan pihak hospital, esok untuk tindakan lanjut,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, beliau bersama-sama JPS turun padang melakukan tinjauan di lokasi banjir kilat tersebut sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan tinjauan di lapangan dan analisis melalui video, JPS telah mengenal pasti punca banjir kilat ini.
“Faktor utama adalah kerana aras bangunan ini jauh lebih rendah serta kedudukannya di kawasan cerun, menyebabkan air hujan mengalir deras dari jalan raya dan memasuki kawasan bangunan seolah-olah ‘air terjun mini’,” jelasnya.
Menurut beliau, hujan lebat bermula kira-kira pukul 2 petang dan hanya reda pukul 6.30 petang menyebabkan air seperti memasuki bangunan yang berada di kawasan lebih rendah.
Katanya, selepas pukul 6.30 petang, air sudah mulai surut.
Terdahulu, HSA dalam satu kenyataan memaklumkan lokasi terlibat banjir kilat itu adalah Bangunan Lily yang menempatkan Klinik Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental.
HSA turut memaklumkan kerja pembersihan kawasan terjejas sudah dilaksanakan.
Hari ini, tular video berdurasi empat minit 25 saat yang dikongsikan pengguna media sosial memaparkan kakitangan hospital itu sedang berusaha membawa keluar barangan dan peralatan hospital selain kenderaan seperti motosikal daripada bangunan yang dinaiki air.- MalaysiaGazette
















